puterialia@hmetro.com.my
PENGARAH: Anshul Tiwari
PELAKON: Hazman Al-Idrus, Asmara Abigail, Fabian Loo, Brett Tutor dan ramai lagi.
PRODUKSI: FilmsPositive, LDNO Productions, Limbo Pictures dan Viking Sunset Studios
TAYANGAN: 28 Ogos 2026
ULASAN: Puteri Alia Zanaruddin
(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)
Selepas sekian lama dinantikan, filem drama perang berlatarkan Tanah Melayu era 1948, Peluru Senja (The Gun and The Ghost) bakal menemui penonton di pawagam tidak lama lagi.
Naskhah sentuhan pengarah India berpangkalan di Singapura, Anshul Tiwari ini membawa penonton menyelami kisah persahabatan luar biasa antara seorang askar tempatan, Ishraq Wan (Hazman Al-Idrus) dan anggota tentera British (Brett Tutor) yang tertinggal selepas pasukannya berundur.
Dibayangi trauma peperangan yang mendalam, kedua-duanya terpaksa meletakkan tepi perbezaan budaya serta fahaman demi berpadu tenaga bagi mempertahankan sebuah perkampungan kecil daripada ancaman kejam kumpulan bersenjata pimpinan Chin Liu (Fabian Loo).
Konflik menjadi semakin rumit apabila ikatan kemanusiaan dan ikhtiar hidup mereka diuji oleh pengkhianatan serta cemburu buta di tengah-tengah pergolakan zaman.
Meskipun penggambaran dijalankan di Bali, Indonesia, usaha produksi menghidupkan semula atmosfera Tanah Melayu pada 1948 dilihat cukup berhasil.
Malah, pemilihan lokasi, penataan kostum, penggunaan senjata serta elemen visual lain tampil selari dengan latar era berkenaan.
Menariknya, karya bertaraf antarabangsa ini turut menggabungkan barisan pelakon dan tenaga produksi pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, India, Bangladesh, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Keistimewaan filem ini terserlah menerusi penggunaan dialek Pahang yang dituturkan secara berkesan oleh barisan pelakon terutama bintang Indonesia, Asmara Abigail yang memegang watak Siti.
Pelakon utama, Hazman berjaya menterjemahkan emosi dan mutu lakonan yang agak baik selepas sekian lama tidak muncul di layar perak.
Sementara itu, Fabian Loo yang popular dengan peranan aksi tampil berani membawa watak antagonis, karakter yang dijamin bakal menyalakan kemarahan penonton.
Dalam pada itu, pelakon Amerika Syarikat iaitu Brett Tutor turut wajar dipuji apabila dia berjaya menyampaikan emosi melalui lakonannya.
Bukan sekadar kisah sejarah tempatan, Peluru Senja sarat dengan mesej kelangsungan hidup, pengorbanan, persahabatan, trauma perang serta konflik pengkhianatan akibat cemburu buta.
Penceritaannya tidak memilih jalan mudah dengan membahagikan watak secara hitam putih (baik atau jahat), sebaliknya menonjolkan bagaimana ketakutan dan tekanan persekitaran memaksa seseorang membuat keputusan moral yang sukar.
Walaupun proses pembikinan menuntut ketahanan fizikal tinggi berikutan cuaca tidak menentu serta babak aksi intensif sepanjang penggambaran, mesej teras naskhah ini tetap berjaya disampaikan dengan berkesan.
Di samping menyajikan babak serius yang tegang, filem ini turut diselitkan dengan elemen humor yang menyegarkan.
Dari sudut teknikal, sinematografi filem ini wajar diberi pujian tinggi kerana berjaya menterjemahkan keindahan visual yang tajam serta pencahayaan semula jadi yang menawan.
Walaupun penggambaran dijalankan dalam hutan tebal yang mencabar, pergerakan kamera berjaya menangkap emosi setiap watak dengan dekat, sekali gus meletakkan penonton seolah-olah berada di tengah-tengah krisis yang berlaku pada 1948 itu.
Sistem penataan bunyi dan muzik latar yang digubah khas turut memainkan peranan penting dalam menaikkan ketegangan sepanjang tayangan.
Bunyi dentuman, tembakan, desiran angin malam dan alunan muzik instrumental yang bertema melankolik bukan sahaja memperkasakan babak suspens, malah menyuntik rasa hiba apabila menyentuh babak-babak membabitkan trauma serta pengorbanan jiwa pejuang.
Aspek kesinambungan penceritaan juga disusun rapi oleh pengarah Anshul Tiwari, yang mana garapan watak tidak rasa terburu-buru walaupun plotnya bergerak pantas.
Secara keseluruhannya, Peluru Senja bukan sekadar sebuah karya hiburan untuk mengisi masa lapang, tetapi sebuah manifesto seni yang mengingatkan kita tentang harga sebuah kebebasan dan keamanan.
Diterbitkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan, Peluru Senja melangkaui persepsi filem sejarah konvensional menerusi garapan plot pantas dan skala sinematik bertaraf thriller aksi kontemporari.
Bagi penggemar filem sejarah, karya ini pastinya sebuah naskhah wajib tonton yang kaya dengan pengajaran dan nilai kemerdekaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
