'Syukur ayah selamat hanya cedera di kaki'

am@hmetro.com.my

Baling: “Syukur ayah ditemui selamat, ” kata Nor Faqihah Mohd Shukri, 24, selepas bapamya, Mohd Shukri Mat Noh, 56, yang hilang ketika menoreh getah di belakang bukit Kilang Mardec, sejak semalam akhirnya ditemui selamat, hari ini.

Nor Faqihah berkata, bapanya hanya mengalami kecederaan di kaki dan mendapat rawatan di Hospital Baling.

Katanya, pagi semalam sekitar jam 7 pagi, bapanya keluar menoreh getah seperti biasa manakala adik lelakinya keluar lewat sikit.

“Sebaik adik sampai di kebun getah yang jaraknya lebih kurang 10 kilometer dari rumah, ketika itu dia nampak ayah sedang menoreh getah.

“Namun sekitar jam 11.30 pagi, adik dapati ayah tiada di kawasan tempat dia menoreh menyebabkan dia cuba mencari ayah merata tempat tetapi tidak jumpa.

“Selepas buntu mencari, dia pulang ke rumah dan memberitahu keluarga mengenai kejadian itu sebelum membuat laporan polis untuk memaklumkan perkara itu, ” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Nor Faqihah berkata, kesihatan bapanya juga tidak memuaskan kerana sering terlupa di mana dia berada tetapi tidak pernah hilang seperti yang berlaku semalam.

Katanya, usaha mencari bapanya diteruskan dan turut bersyukur apabila dia ditemui selamat dan duduk di atas sepotong kayu dalam kebun getah bersebelahan kebun getah berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, seorang penoreh getah yang juga pesara tentera dipercayai hilang selepas keluar menoreh getah di kawasan belakang kilang Mardech, di sini semalam.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa, Shukri Mat Noh, 56, yang dilakukan oleh pihak bomba, polis dan penduduk kampung sejak semalam dan dia ditemui selamat pada jam 9.30 pagi tadi di Charuk Kapas oleh penduduk kampung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top