Belanjawan 2027: PM setuju sediakan elaun Tingkatan Enam

BUKIT MERTAJAM – [KEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk menyediakan peruntukkan dan elaun bagi pelajar Tingkatan Enam menerusi Belanjawan yang akan dibentangkan pada Oktober ini.

Menurutnya, perkara itu akan diumumkan dalam Belanjawan berkenaan sebagai usaha membantu pelajar terbabit.

“Saya katakan, dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima ada elaun. Pelajar universiti juga ada elaun. Tetapi pelajar Tingkatan Enam, iaitu prauniversiti, tidak menerima elaun.

“Jadi, saya telah umumkan bahawa dalam Belanjawan kita pada Oktober ini, saya akan meluluskan peruntukan dan elaun untuk pelajar Tingkatan Enam,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Sesi Temu Anwar Sempena Ambang Merdeka Sahabat Madani di Institut Pendidikan Guru Kampus Tunku Bainun di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Bagaimanapun, Anwar berkata jumlah elaun berkenaan masih belum ditentukan dan bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan.

Menurut beliau, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti serta memastikan tiada pelajar terpinggir hanya disebabkan latar belakang sosioekonomi mereka.

Terdahulu, Fadhlina dalam ucapannya berkata cadangan pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam merupakan antara 12 resolusi yang dibangkitkan pada Kongres Prauniversiti Madani yang berlangsung di Klang.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) menerima kesemua resolusi yang dikemukakan perwakilan pelajar dan akan menelitinya untuk ditambah baik, selain mencari jalan bagi memastikan cadangan berkenaan dapat dilaksanakan.

Dalam pada itu, Fadhlina ketika ditemui selepas sesi berkenaan berkata, pengumuman itu merupakan berita yang dinanti-nantikan selepas isu berkenaan diperjuangkan sejak sekian lama.

Beliau berkata, perjuangan mendapatkan elaun berkenaan telah dikemukakan sejak awal beliau menerajui Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurutnya, pengumuman Anwar mengenai perkara itu membuktikan usaha berkenaan akhirnya membuahkan hasil.

“Saya rakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri pengumuman berkaitan elaun Tingkatan Enam.

“Ini adalah berita yang ditunggu-tunggu. Saya fikir perjuangan untuk mendapatkan elaun ini telah kami kemukakan sejak awal saya menjadi Menteri Pendidikan dan alhamdulillah, untuk belanjawan kali ini, ia akan menjadi kenyataan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pelajar Tingkatan Enam prauniversiti di seluruh negara yang konsisten memperjuangkan isu berkenaan saban tahun.

Katanya, perkara itu turut menjadi antara resolusi yang dibangkitkan pelajar dalam kongres mereka yang berlangsung pada pagi Jumaat.

“Pagi tadi di kongres, antara perkara yang dibangkitkan adalah mengenai elaun dan petang ini, alhamdulillah Datuk Seri (Anwar) mengumumkan bahawa ia akan menjadi kenyataan.

“Saya rakamkan ucapan terima kasih. Ini adalah antara reformasi penting dalam pendidikan khususnya untuk menjaga kebajikan dan memartabatkan pelajar prauniversiti KPM dengan memberikan elaun ini,” katanya.

Beliau berkata, pemberian elaun berkenaan juga mencerminkan usaha kerajaan untuk terus memartabatkan pendidikan negara.

Scroll to Top