Aksi 'luar biasa' Cherki legakan Maresca

London: Enzo Maresca memuji persembahan “luar biasa” Rayan Cherki ketika Manchester City membelasah Crystal Palace 4-1 awal pagi tadi.

Maresca mengakui Cherki kecewa selepas tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika City menewaskan Bournemouth 2-1 pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL), hujung minggu lalu.

Pemain tengah Perancis itu menjawab kekecewaan berkenaan dengan aksi penuh bergaya.

Dia masuk sebagai pemain gantian untuk menghasilkan dua bantuan gol ketika menentang Bournemouth sebelum merebut peluang dalam kesebelasan utama di Selhurst Park dengan persembahan hebat yang menyerlahkan kualitinya.

Pemain berusia 23 tahun itu meledak dua gol selepas jaringan sendiri penjaga gol City, Gianluigi Donnarumma, membatalkan gol pembukaan Erling Haaland dalam aksi hujan di selatan London.

Haaland kemudian meledak sekali lagi pada penghujung perlawanan untuk melengkapkan kemenangan kedua berturut-turut City di bawah kendalian Maresca.

Maresca memuji cara Cherki menggabungkan kecemerlangan mencipta peluang dengan tugasan mengawal pemain tengah Palace, Adam Wharton.

“Persembahannya ketika tidak menguasai bola sangat luar biasa. Semua orang tahu kualitinya, tetapi apabila dia bekerja keras tanpa bola.

“Dia ditugaskan mengawal Wharton dan berjaya mengawalnya. Dia membantu kami dan akan terus membantu pada masa depan. Kami tahu dia pemain berkualiti.

“Saya fikir dia sangat, sangat baik ketika tidak menguasai bola dan bekerja dengan amat keras,” kata Maresca.

Cherki pula mengakui persembahan cemerlangnya masih jauh daripada tahap terbaik.

“Persembahan saya biasa-biasa sahaja. Pada babak pertama, kami gagal mencari ruang dan saya bermain dengan buruk.

“Saya perlu menunjukkan kepada mereka bahawa saya mahu bermain dan mahu menjaringkan gol. Pada aksi seterusnya, saya mahu lebih banyak mengedarkan bola,” katanya.

Aksi penuh gaya Cherki di atas padang serta personalitinya yang mudah berubah di luar padang mencetuskan laporan bahawa Pep Guardiola kurang yakin terhadap bekas bintang Lyon itu musim lalu.

Dengan Guardiola meninggalkan City pada penghujung musim lalu, Cherki berharap dapat muncul sebagai antara tonggak utama era baharu di bawah kendalian Maresca.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Pep adalah satu kisah besar. Kami akan memulakan kisah yang baharu.

“Kami mahu membuktikannya dan kami berada di sini untuk tujuan itu,” katanya.

City memulakan kempen dengan cemerlang di bawah kendalian Maresca dan bekas pengendali Chelsea itu berpuas hati dengan persembahan penuh semangat juang ketika menentang Palace.

“Lima atau 10 minit pertama mungkin kami dapat melihat betapa sukarnya perlawanan ini. Ini padang yang sukar dan lawan yang kuat,” katanya.

“Selepas 10 minit, kami mengawal permainan ketika menguasai bola dan ketika tidak menguasai bola serta layak untuk menang. Intensiti pasukan juga bagus.”

Jika City mahu menyingkirkan juara Arsenal dari takhta musim ini, Maresca sedar mereka memerlukan Haaland berada pada tahap terbaiknya sebagai penjaring yang sentiasa mengintai peluang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top