Kathmandu: Sebuah keluarga Jerman yang terdiri daripada empat orang terselamat daripada arus banjir di Nepal selepas diselamatkan menggunakan helikopter tentera susulan banjir kilat yang dahsyat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Manuel Munch, 37, isterinya warga Nepal, 35, serta dua anak mereka berusia 10 dan tujuh tahun diterbangkan ke tempat selamat oleh tentera. Keluarga itu berlindung bersama saudara-mara berhampiran Trishuli Bazar selama beberapa hari selepas banjir memusnahkan jalan raya dan jambatan serta memutuskan laluan mereka untuk keluar dari kawasan berkenaan.
Perubahan rancangan menjadi faktor yang menyelamatkan keluarga itu. Munch dan keluarganya sebelum itu menyertai aktiviti pengembaraan singkat di Wilayah Langtang tetapi terpaksa memendekkannya selepas tanah runtuh yang berlaku lebih awal menghalang laluan. Mereka pulang lebih awal dan mengunjungi saudara-mara berhampiran Trishuli Bazar.
Banjir berlaku sehari kemudian. “Kami melihat gelombang banjir itu dan kemudian berlari mendaki bukit sedaya upaya,” kata Munch kepada dpa. Keluarga itu berlari kira-kira 800 meter untuk sampai ke tempat selamat.
Dari rumah saudara-mara yang terletak berhampiran sungai, mereka terdengar bencana yang menghampiri dari kejauhan. “Bunyi dentuman kuat, bunyi bergegar,” kata Munch. Kemudian keluarga itu melihat gelombang banjir melanda dan kepulan debu berterbangan.
“Jika kami meneruskan aktiviti pengembaraan seperti yang dirancang, kami akan bermalam di Syabrubesi pada hari itu dan kami pasti sudah mati,” kata Munch.
Selepas bencana itu, keluarga berkenaan menghubungi Kedutaan Jerman untuk memaklumkan bahawa mereka semua selamat. Mereka turut meminta bantuan untuk dipindahkan.
Tiada laluan keluar melalui jalan darat apabila lebih 20 jambatan musnah sepanjang kira-kira 40 kilometer, kata bapa itu. Jalan raya dan laluan perhubungan di kedua-dua belah sungai turut terputus.
Keempat-empat anggota keluarga itu diterbangkan dengan helikopter ke sebuah kem tentera di Battar Bazar. Kini, mereka hanya mempunyai satu hasrat, iaitu pulang ke Jerman secepat mungkin.
© New Straits Times Press (M) Bhd

