am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pentadbirannya tidak sesekali menyokong aktiviti perjudian.
Anwar berkata, meskipun dirinya dilabel sebagai ‘tauke judi’ oleh segelintir pihak namun dakwaan sinis berkenaan tidak benar, malah beliau memaklumkan sudah menurunkan bilangan cabutan khas judi tahunan daripada 22 kepada lapan kali setahun.
Menurutnya, langkah itu dibuat sebagai arah tadbir urus yang lebih baik, selain turut mengambil pandangan ulama dan agamawan termasuklah berpandukan al-Quran dalam membuat keputusan.
“Orang kata, Anwar ini tauke judi. Saya tidak judi, saya tidak sokong orang judi. Sebelum, saya jadi Perdana Menteri. Semasa kerajaan dahulu, cabutan (judi) setahun 22 kali, tetapi saya batalkan semua dan turunkan jadi lapan kali, jadi nak maki saya buat apa,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Skim Usahawan Bangkit (SUB) MADANI Permatang Pauh di Dewan Yayasan Aman, Penanti di sini.
Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, bahawa Anwar akan dikritik rakyat Kedah jika dia membenarkan aktiviti perjudian disambung semula di negeri itu.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri sudah melakukan apa yang terdaya untuk menghalang aktiviti berkenaan apabila melaksanakan larangan menyeluruh terhadap premis perjudian dan loteri .
Bagaimanapun, larangan yang dikuatkuasakan pada 2023 itu dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan melalui keputusan pada 12 Ogos.
Pada 12 Ogos, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang mendapati dasar Kedah enggan memperbaharui lesen perniagaan berkaitan perjudian adalah melanggar perlembagaan kerana menceroboh kuasa persekutuan.
Keputusan itu sekali gus menghentikan usaha undang-undang kerajaan Kedah untuk menguatkuasakan larangan menyeluruh terhadap premis perjudian dan loteri di negeri berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
