sukan@hmetro.com.my
Langkawi: Larian Ria sejauh lima kilometer (5km) di Pulau Tuba, di sini, hari ini, bertukar menjadi ‘pertarungan keluarga’ apabila dua beradik menguasai dua kedudukan teratas kategori dewasa.
Muhammad Akasyah Amran, 17, muncul juara, manakala adiknya, Muhammad Ammar Zikri, 14, meraih tempat kedua selepas mengatasi kira-kira 150 peserta lain pada acara sempena Sukan Komuniti Balik Bukit (SUKKA 3.0).
Muhammad Akasyah yang berasal dari Alor Setar berkata, mereka pada mulanya menyertai acara itu sekadar mahu berlari santai bersama-sama, tanpa meletakkan sebarang sasaran untuk menang.
“Memang kami tidak letak sasaran untuk menang kerana niat asal hanya mahu berlari santai. Tetapi selepas larian bermula, kami lihat kedudukan semakin ke depan dan mula rasa ada peluang untuk menang.
“Apabila sudah berada dalam kelompok hadapan, masing-masing mula tambah kelajuan. Memang seronok apabila kami berdua dapat menamatkan larian di tempat pertama dan kedua,” katanya ketika ditemui sejurus tamat acara itu.
Tempat ketiga kategori berkenaan menjadi milik Muhammad Fariz Aizat Abdul Ghani, 13, dari Pulau Dayang Bunting.
Bagi kategori wanita dewasa, Nur Insyirah Abdul Rahman, 18, dari Kampung Kuah muncul juara.
Syafiqah Daud, 32, dari Kampung Kuala Melaka meraih tempat kedua, manakala Arina Yasmin Mohd Isa, 15, dari Kampung Perana di tempat ketiga.
© New Straits Times Press (M) Bhd


