JDT terus berleluasa, bedil Star City 7-0

JOHOR BAHRU: Selepas ghairah membelasah Kelantan Red Warrior FC 9-0, Rabu lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengganas apabila membenam Star City FC 7-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Skuad kendalian Harimau Selatan hampir membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi percubaan kapten, Arif Aiman Hanafi namun rembatan yang dilakukan dinafikan penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Seminit kemudian, giliran Shahab Zahedi pula menguji kekebalan benteng pasukan lawan namun tendangan kencang dari luar kotak sedikit tersasar dari pintu gol The Northern Stars.

Hafizul Hakim mempamerkan aksi memukau setelah menafikan beberapa peluang gol daripada Bergson Da Silva dan Kevin Medina bagi memastikan gawang tidak dibolosi.

Gawang Star City akhirnya bolos pada minit ke-17 berpunca daripada kesilapan Hafizul Hakim apabila membuat hantaran pendek kepada pertahanan lawan yang berjaya dipintas Zahedi sebelum pemain Iran itu membuat umpanan kepada Bergson yang bijak meletakkan bola ke gawang lawan.

Bergson hampir menambah jaringan dua minit berselang namun kali ini percubaan yang dilakukan dalam kotak penalti gagal menewaskan Hafizul Hakim.

Pada minit ke-24, Zahedi hampir menjaringkan gol dalam tiga perlawanan berturut-turut namun tandukan yang dilakukan sedikit tersasar daripada pintu gol pasukan pelawat.

Gol kedua JDT hadir pada minit ke-31 menerusi jaringan Marcos Guilherme yang menerima umpanan Bergson sebelum melakukan sepakan lambung menyaksikan penjaga gol Star City terkapai-kapai cuba menepis bola tersebut namun gagal berbuat demikian.

Empat minit berselang, Bergson menjaringkan kedua peribadinya apabila merampas bola hantaran ke belakang pertahanan lawan sebelum memperdayakan Hafizul Hakim dan menolak bola masuk ke gawang yang tidak berkawal pada minit ke-35.

Skuad bimbingan Xisco Munoz terus mengasak kubu lawan yang dilihat hilang arah itu, hasilnya berjaya menjaringkan gol keempat setelah hantaran lambung Arif Aiman ke dalam kotak penalti ditanduk oleh Medina pada minit ke-42, manakala skuad kendalian Mehmed Durakovic pula terus dirundum malang apabila JDT meledak gol kelima pada penghujung babak pertama setelah hantaran Arif Aiman ke penjuru gawang ditanduk oleh Zahedi bagi menambah derita pasukan lawan.

Bersambung babak kedua, Durakovic membawa masuk Pedro Henrique bagi menguatkan jentera serangan untuk merapatkan jurang gol pada perlawanan itu. The Northern Stars dilihat berjaya meningkatkan tempo permainan dan menyaingi kekuatan Harimau Selatan namun tidak berupaya untuk mencipta gerakan menarik untuk mencipta jaringan.

Munoz turut membuat beberapa pertukaran dengan membawa masuk Jairo Da Silva, Juan Molina, Nacho Mendez dan Carlos Akapo bagi memastikan intensiti permainan dapat dikekalkan.

Pada minit ke-68, JDT menambah jaringan berpunca daripada larian solo Arif Aiman sebelum membuat hantaran kepada Jairo di sayap kanan dan melakukan umpanan kepada Akapo untuk menjaringkan gol keenam perlawanan.

JDT dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Nawal Zubir selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati tendangan Akapo terkena tangan pemain lawan.

Bergson tidak berdepan tugas sukar untuk menyudahkan sepakan penalti itu sekali gus melengkapkan jaringan hatriknya pada minit ke-77. Pada 10 minit terakhir permainan, JDT berupaya untuk menambah jaringan menerusi peluang keemasan Jairo dan Arif Aiman namun tiada pertambahan gol direkodkan.-UTUSAN

Scroll to Top