TEHERAN: Pemimpin tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei pada Ahad menggesa negara-negara Islam di rantau itu bersatu menentang Amerika Syarikat (AS) dan Israel, dalam mesej bertulis yang dikeluarkan enam bulan selepas tercetusnya perang di Asia Barat.
Mojtaba, yang memegang tampuk kuasa tidak lama selepas bapanya, Ali Khamenei terbunuh pada awal perang pada 28 Februari lalu, masih belum muncul di khalayak umum sejak dilantik, manakala pihak berkuasa tidak mengeluarkan sebarang rakaman video atau audio beliau.
“Penyelesaian kepada masalah umat Islam ialah kesatuan pendapat, persahabatan dan kerjasama dalam jalan kebaikan.
“Mana-mana individu, tanpa mengira kedudukannya yang melakukan sesuatu sehingga menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam dan mencetuskan konflik dalam masyarakat Islam, sama ada secara sedar atau tidak, sengaja atau tidak sengaja, telah memenuhi tujuan musuh Islam,” katanya menurut laman web rasmi beliau.
Pemimpin tertinggi itu turut menggesa pemimpin negara-negara serantau supaya mengenal pasti musuh sebenar mereka, memahami perancangannya dan menentangnya, merujuk kepada AS dan Israel.
Sepanjang perang, Iran menyasarkan pangkalan tentera AS di seluruh Asia Barat termasuk di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan, Kuwait, Qatar dan Bahrain.
Hubungan dengan negara-negara berkenaan sejak itu semakin tegang.
Mojtaba, yang mempunyai kuasa muktamad dalam menentukan dasar utama negara, turut menggesa pegawai kerajaan dan rakyat Iran mengetepikan perbezaan serta bersatu menentang Israel dan AS.
“Sekali lagi, nasihat hamba ini kepada rakyat Iran ialah jangan sesekali membiarkan sebarang perbezaan timbul antara mereka dalam apa jua bentuk.
“Saya dengan tegas menyatakan bahawa melakukan apa sahaja yang menjejaskan perpaduan sosial adalah dilarang,” katanya dalam mesej pada Jumaat.
Beliau turut menggesa proses mengurangkan kebergantungan terhadap dolar AS dalam ekonomi Iran dilakukan secara berperingkat serta meningkatkan pengeluaran ekonomi bagi menyokong pertumbuhan selepas negara itu berdepan sekatan laut dan ekonomi yang menjejaskan kehidupan rakyat.-AFP

