Generasi muda dominasi penyertaan Hari Kebangsaan 2026

Putrajaya: Bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, generasi muda membuktikan semangat patriotisme dengan sama-sama terbabit menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Dataran Putrajaya pagi ini.

Mendominasi penyertaan sambutan Hari Kebangsaan dalam pelbagai segmen, kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan hampir 11,000 peserta tahun ini berumur bawah 30 tahun yang antaranya terdiri daripada penuntut Institut Pengajian Tinggi dan pelajar sekolah.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris berkata, pembabitan golongan muda menjadi antara teras utama sambutan itu, merangkumi persembahan utama, pergendangan, grafik manusia, perbarisan serta kontinjen badan beruniform.

Beliau berkata, penyertaan generasi muda dalam program bersifat nasional itu penting bagi memberikan ruang kepada mereka untuk memahami erti kemerdekaan selain memupuk nilai pengorbanan, disiplin dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

“Roh kepada sambutan Hari Kebangsaan ini ialah generasi muda. Kalau kita nak teruskan kelangsungan kemerdekaan, semangat patriotik, bagi saya sememangnya generasi mudalah yang sepatutnya menjadi tonggak ataupun teras utama kepada penganjuran program.

“Generasi muda dapat memahami konseptual pelaksanaan program serta memahami lebih lanjut yang dimaksudkan dengan erti kemerdekaan. Pembabitan ini bukan sekadar mengibarkan bendera atau penyertaan dalam sesuatu program, tetapi lebih daripada itu,” katanya kepada Bernama.

Pembabitan besar generasi muda itu antara lain dapat dilihat menerusi Gema Inovasi MADANI yang menjadi persembahan pembukaan sambutan hari ini membabitkan 1,900 peserta termasuk 150 pemain utama yang disokong 1,500 pelajar daripada 36 sekolah menerusi persembahan grafik manusia.

Mohd Amran berkata persembahan itu membawa kelainan pada sambutan tahun ini yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ apabila buat kali pertama elemen pergendangan digabungkan dengan grafik manusia yang berwarna-warni dalam segmen pembukaan.

Di sebalik persembahan berskala besar itu, Mohd Amran berkata, peserta muda berusia bawah 30 tahun itu turut mempamerkan komitmen dan disiplin tinggi sepanjang tempoh persiapan, dengan latihan bermula sejak Jun selain perlu bangun seawal 4 pagi untuk berada di Dataran Putrajaya pada 5 pagi.

Kesungguhan itu menurutnya, sekali gus turut menepis tanggapan sesetengah pihak yang sering mempersoalkan semangat patriotisme generasi muda selain menyifatkan setiap daripada mereka mempunyai cara tersendiri dalam menzahirkan rasa kecintaan terhadap negara.

“Untuk mencari kapasiti yang besar, khususnya yang membabitkan grafik manusia, memang kita memerlukan pembabitan daripada generasi muda, terutamanya sekali daripada pelajar-pelajar sekolah. Sebab mereka ini antara kelompok yang mudah untuk kita kenal pasti dan dilibatkan secara langsung.

“Bukan hanya di Malaysia, di mana-mana negara pun kalau kita lihat sambutan yang membabitkan program nasional kebanyakannya akan membabitkan generasi muda sebab merekalah pewaris kepada kemerdekaan dan akan mewarisi kepimpinan negara,” katanya.

Mohd Amran berkata, pembabitan dalam sambutan itu turut menjadi proses pembelajaran kepada peserta muda kerana mereka perlu mematuhi peraturan dan jadual ditetapkan, sekali gus membentuk disiplin yang diharapkan dapat diterapkan dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata sambutan Hari Kebangsaan juga menjadi platform terbaik untuk memperkukuh integrasi apabila menghimpunkan pelajar daripada pelbagai sekolah bersama dengan peserta daripada agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat berbilang kaum.

“Di sini berlakunya interaksi, komunikasi dan jaringan antara pelajar daripada pelbagai sekolah, agensi kementerian dan NGO. Melayu, bukan Melayu, pelbagai kaum ada di sini, jadi kita dapat menyemai satu semangat yang baik,” katanya.

Pandangan itu turut dikongsi peserta pergendangan, N. Poojashree, 26, yang melihat pembabitannya dalam sambutan Hari Kebangsaan sebagai peluang terbaik untuk menzahirkan rasa kecintaan kepada negara menerusi seni persembahan.

Poojashree yang bekerja dalam sektor perhotelan dan aktif sebagai penari sambilan berkata beliau mula berkecimpung dalam seni tari sejak di bangku sekolah dan berpeluang mempelajari pelbagai tarian tradisional termasuk inang, joget dan zapin.

Bagi anak bongsu daripada dua beradik itu, semangat patriotisme tidak sewajarnya dinilai berdasarkan latar belakang seseorang kerana identiti sebagai rakyat Malaysia membolehkannya untuk mendalami dan mempersembahkan seni budaya masyarakat lain.

“Saya bukan hanya mewakili masyarakat India kerana saya juga boleh mempersembahkan tarian kebudayaan Melayu dan Cina. Bagi saya, itulah keindahan menjadi rakyat Malaysia dan saya bangga menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.

Poojashree yang kali kedua terbabit dalam sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) berkata, pengalaman tahun ini lebih istimewa apabila buat julung-julung kalinya berpeluang membuat persembahan di pentas dengan menggabungkan elemen tarian dan pergendangan.

“Saya gembira apabila mendapat peluang membuat persembahan. Selagi masih sihat dan mampu menari, saya mahu terus membuat persembahan dan ini juga cara saya untuk menzahirkan semangat patriotisme kepada negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top