SHAH ALAM – Seramai 181 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengikuti program Diploma Work-Based Learning (WBL) 2.0 Kementerian Pertahanan Kohort 2 di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Ia sekali gus meneruskan inisiatif strategik yang menghubungkan pengalaman serta kompetensi di tempat kerja dengan pendidikan tinggi.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan (Mindef), Datin Roszanina Wahab berkata, pelaksanaan WBL merupakan pendekatan baharu dalam memperkukuh pembangunan modal insan negara.
“Ini termasuk menghubungkan pengalaman kerja, kemahiran teknikal dan laluan akademik secara lebih tersusun,” katanya.
Roszanina merasmikan program Diploma WBL 2.0 Kementerian Pertahanan Kohort 2 di UiTM bertempat di Dewan Serbaguna Seroja UiTM Shah Alam pada 26 Ogos lalu.
Turut hadir ialah Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin; Pengarah Pendidikan ATM, Brigedier Jeneral Mohd Sharif Ishak serta Penolong Naib Canselor (Penjanaan Pendapatan), Profesor Dr Faizah Abd Majid yang menjalankan tugas Ketua Eksekutif Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) UiTM.
Bagi Kohort 2, ia melibatkan tiga program iaitu Diploma Seni Kulinari, Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat serta Diploma Pengajian Sukan.
Inisiatif tersebut meneruskan kejayaan Kohort 1 yang dilaksanakan bersama UiTM pada 2025 dengan penyertaan seramai 231 orang melibatkan lima program diploma.
Kesemua peserta Kohort 1 dijangka menerima penganugerahan diploma pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-105.
Sementara itu, Shahrin berpandangan bahawa WBL 2.0 bukan sekadar satu program akademik, tetapi juga manifestasi komitmen bersama untuk memperkasa anggota pertahanan melalui pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan profesional.
Kerjasama strategik antara UiTM melalui iCEPS, Mindef dan ATM turut mendapat sokongan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi memastikan pelaksanaan serta penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman memenuhi piawaian kualiti akademik ditetapkan.
WBL 2.0 menjadi platform penting dalam mengiktiraf pengalaman, disiplin, kepimpinan dan kompetensi anggota ATM sebagai sebahagian daripada perjalanan akademik yang diiktiraf.
Ini sekali gus membuka ruang kepada pembangunan kerjaya dan persediaan menghadapi kerjaya kedua selepas tamat perkhidmatan.