PETALING JAYA: Penganjuran atau penyertaan dalam acara ratu cantik transgender tidak pernah mendapat sebarang sokongan, kebenaran atau pengiktirafan daripada pihak berkuasa agama mahupun Kerajaan Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang individu yang menyertai pertandingan berkenaan di Bangkok, Thailand pada 30 Ogos lalu.
Katanya, penyertaan itu bukan sahaja melibatkan perkara yang bercanggah dengan pegangan agama, malah memberikan gambaran tidak baik terhadap Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja mencemarkan imej negara di persada antarabangsa, malah bertentangan secara nyata dengan ajaran Islam, norma budaya tempatan serta nilai kesopanan dan kesusilaan yang menjadi pegangan rakyat Malaysia.
“Perbuatan menyerupai jantina berlawanan (tasyabbuh) serta mempromosikan gaya hidup transgender adalah haram di sisi hukum syarak dan dilarang di bawah perundangan syariah di negeri-negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Zulkifli menggesa orang ramai supaya tidak mensesansi atau mengagung-agungkan perkara yang menyalahi syariat, sebaliknya bersama-sama mempertahankan nilai moral dan akidah ummah.
“Pihak berkuasa agama akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi meneliti tindakan berasaskan perundangan yang sedia ada,” katanya.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang individu didakwa mewakili Malaysia dalam pertandingan ratu cantik transgender peringkat antarabangsa, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya. –UTUSAN
