KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan projek bernilai kira-kira RM30 juta, bagi memperluas pasaran produk serta memperkukuh rantaian bekalan agromakanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata kerjasama strategik itu, menjadi titik tolak kepada usaha kedua-dua pihak memanfaatkan kekuatan masing-masing, khususnya dalam pengedaran, pemasaran dan penggunaan teknologi.
“Pertukaran MoU pada hari ini akan menjadi satu titik tolak kepada kerjasama antara PKPS dan NAFAS, untuk kita pergi lebih jauh dalam memasarkan produk-produk sedia ada PKPS, di dalam outlet dan saluran yang dimiliki NAFAS, begitu juga pemasaran produk NAFAS di dalam outlet yang dimiliki PKPS,” katanya.
Beliau berkata kerjasama berkenaan, merupakan situasi menang-menang yang berpotensi mempercepat peluasan capaian produk kedua-dua pihak di seluruh negara.
“Ini satu kolaborasi yang sangat menarik antara PKPS dan NAFAS,” katanya kepada pemberita selepas sesi pertukaran MoU bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), di sini hari ini.
Mohamad Khairil berkata PKPS kini mempunyai rangkaian 244 outlet serta pengedar di seluruh negara, yang boleh dimanfaatkan sebagai platform untuk memperluas pemasaran produk termasuk produk jenama Ehsan PKPS.
“Sekarang kita dalam proses untuk mengembangkan lagi produk kita dan juga mengembangkan lagi capaian produk-produk kita termasuk, outlet kita bukan sahaja di dalam negeri Selangor tetapi di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata kolaborasi dengan NAFAS itu, dijangka menjadi antara lonjakan yang dapat mempercepat usaha PKPS mencapai sasaran berkenaan, selain menyokong agenda keterjaminan makanan menerusi pengukuhan rantaian bekalan pertanian.
Menerusi MoU itu, PKPS akan menjadi antara pusat pengedaran rasmi bagi produk keluaran NAFAS, selain membekalkan produk segar seperti ayam, daging dan makanan laut, makanan sejuk beku serta barangan kering di bawah jenama Ehsan PKPS untuk pasaran lebih luas.
Pada masa sama, NAFAS akan menjadi pusat pengedaran bagi produk PKPS serta membekalkan input pertanian seperti baja dan racun, selain memperluas pengedaran produk makanan berasaskan jenama “Peladang”
Mohamad Khairil berkata kerjasama itu turut merangkumi program bersama berkaitan pengedaran produk, penggunaan teknologi, pemasaran serta perkongsian kepakaran dalam sektor yang dimiliki kedua-dua organisasi.
Beliau berkata inisiatif berkenaan selari dengan Pelan Transformasi Agribisnis PKPS 2026-2030 (SEED 2030), yang antara lain memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan hasil pertanian serta ternakan dan prestasi jualan produk jenama Ehsan.
Sesi pertukaran MoU itu disempurnakan Mohamad Khairil dan Pengurus Besar NAFAS Muhammad Faris Arrifiin, serta disaksikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
MAHA 2026 yang berlangsung di MAEPS menjadi platform penting bagi menghimpunkan pemain industri pertanian dan agromakanan, selain membuka ruang kepada penggiat sektor itu meneroka peluang kerjasama dan pasaran baharu. – Bernama
