Salah faham pasal rokok cetus pergaduhan, tiga lelaki ditahan polis

am@hmetro.com.my

Kota Belud: Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan pergaduhan yang tular di media sosial membabitkan beberapa individu di sebuah kedai di Kampung Pengkalan Abai, di sini, hari ini.

Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang pembantu kedai warga Pakistan berusia 23 tahun serta dua lelaki tempatan berusia 31 dan 49 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 2.39 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan berlaku jam 9.35 pagi dan membabitkan enam lelaki.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham selepas pembantu kedai berkenaan menuduh kumpulan terbabit mengambil rokok dari kedai itu.

“Tuduhan itu mencetuskan pertengkaran sebelum keadaan menjadi tegang dan berlaku pergaduhan,” katanya ketika dihubungi.

Khairul Shah berkata, ketika pergaduhan, pembantu kedai itu dipercayai memukul seorang lelaki menggunakan paip PVC, manakala dia turut dipukul dengan batang penyapu.

Katanya, pembantu kedai berkenaan mengalami lebam pada tangan kiri dan belakang badan.

“Lima lelaki terbabit kemudian melarikan diri dari lokasi dengan menaiki sebuah kereta.

“Pembantu kedai bersama dua daripada lelaki terbabit hadir di Balai Polis Kota Belud jam 2.30 petang sebelum ketiga-tiganya ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas sebatang paip PVC dan sebatang penyapu yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, usaha sedang dijalankan bagi mengesan tiga lagi suspek yang masih bebas.

“Permohonan reman terhadap semua individu yang ditahan akan dibuat hari ini, selain ujian saringan air kencing dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, tular dua rakaman video memaparkan kekecohan membabitkan beberapa lelaki di kawasan kedai berkenaan.

Rakaman itu menunjukkan beberapa individu bertelagah dan saling mengejar, termasuk ada yang memegang objek panjang, sebelum sebuah kereta meninggalkan lokasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top