Idaho, Amerika Syarikat: Pemegang Rekod Dunia Guinness (GWR) bersiri, David Rush, menewaskan rekod miliknya sendiri bagi kategori imbangan gulung tisu tandas di atas kepala apabila berjaya mengekalkan 254 gulung kertas dalam keadaan seimbang.
Memetik laporan United Press International (UPI), Rush yang memegang lebih 200 gelaran GWR pada mulanya mencatatkan rekod bagi jumlah gulung tisu tandas terbanyak yang diseimbangkan di atas kepala iaitu 101 gulung pada 2021.
Beliau kemudiannya kehilangan gelaran itu sebelum merampasnya semula pada Mei 2025 dengan menyeimbangkan 195 gulung tisu tandas di atas kepalanya.
Rush kini secara rasmi meningkatkan rekod berkenaan kepada 254 gulung menerusi cubaan yang berjaya dilakukan pada Oktober 2025.
“Untuk menyusun 254 gulung, saya memerlukan pembahagi kadbod yang dibenarkan, beberapa pasang tangan untuk mengangkat struktur itu serta kepercayaan sepenuhnya.
“Pada cubaan pertama, ketidakseimbangan yang biasa berlaku menyebabkan ratusan gulung kertas bertaburan di atas lantai kayu,” katanya dalam hantaran dalam talian.
Pada cubaan kedua, Rush berjaya mengatasi tempoh minimum 30 saat yang ditetapkan GWR dan berjaya mengekalkan keseimbangan menara tisu tandas itu di atas dahinya selama satu minit dan 12 saat.
© New Straits Times Press (M) Bhd
