London: Legasi Lionel Messi akan kekal selamanya, kata David Beckham selepas legenda Argentina itu mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa.
Messi, 39, mengesahkan penamat karier cemerlangnya bersama Argentina selepas membuat 207 penampilan dan menjaringkan 125 gol untuk negaranya.
Bekas bintang Barcelona itu turut membantu Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 di Qatar, manakala penampilan terakhirnya bersama skuad kebangsaan hadir pada final Piala Dunia menentang Sepanyol, Julai lalu.
Kecemerlangan Messi bersama Argentina dan Barcelona mengangkatnya sebagai antara pemain terbaik dalam sejarah bola sepak dunia.
Beckham pula mempunyai peluang menyaksikan sendiri kehebatan Messi, baik ketika menjadi lawan mahupun kini sebagai pemilik bersama kelab yang diwakili penyerang berkenaan, Inter Miami.
Menerusi hantaran di Instagram, bekas kapten England itu memberikan penghormatan kepada Messi yang dianggapnya sebagai inspirasi kepada jutaan kanak-kanak di seluruh dunia.
“Inilah masanya untuk kita menoleh ke belakang dan menyedari betapa bertuahnya kita kerana dapat menyaksikan kehebatan seorang kanak-kanak yang mempunyai impian,” kata Beckham.
Menurut Beckham, Messi bukan sahaja menjadi kebanggaan buat dirinya dan keluarganya, malah turut mengharumkan nama Argentina menerusi kepimpinan serta teladannya di dalam dan luar padang.
“Leo, anda menjadi kebanggaan buat diri sendiri, keluarga, rakan-rakan dan negara. Anda memimpin melalui teladan dan menjadi inspirasi kepada jutaan kanak-kanak, bukan sahaja di Argentina tetapi di seluruh dunia.
“Leo, anda menghadiahkan hadiah terhebat kepada negara anda dan atas sebab itu, legasi anda akan kekal selamanya.
“Tahniah atas segala yang telah anda capai bersama Argentina,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

