Bidadari Dambaan Syurga perkasa wanita menerusi pengisian rohani

Bidadari Dambaan Syurga perkasa wanita menerusi pengisian rohani

MARAN: Sebagai usaha memperkasakan wanita menerusi pengisian ilmu dan kerohanian, program Bidadari Dambaan Syurga bakal berlangsung pada 4 dan 5 September ini di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maran.

Program di bawah inisiatif Apresiasi Pahang 1st itu bakal menampilkan pelakon dan aktivis kemanusiaan, Yatt Hamzah bersama Ustazah Sharifah Khasif dan Ustazah Aqidah Mawardi sebagai panel.

Bidadari Dambaan Syurga perkasa wanita menerusi pengisian rohani

Program selama dua hari berkenaan diharap menjadi wadah kepada golongan wanita untuk memperkukuh ilmu dan bermuhasabah, sekali gus menyuntik kesedaran serta semangat melakukan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik.

Menurut Yatt, beliau akan berkongsi mengenai perjalanan seorang wanita dalam mencari makna kehidupan, termasuk pengalaman melalui fasa perubahan, jatuh bangun serta usaha menyusun semula keutamaan agar tuntutan dunia tidak mengatasi persediaan menuju akhirat.

“Saya juga mahu menyentuh tentang realiti kehidupan wanita. Kadang-kadang kita nampak seseorang itu baik, kuat dan tenang di luar, tetapi kita tidak tahu apa yang sedang dia perjuangkan di dalam hati.

“Sebab itu saya mahu perkongsian ini lebih kepada sebuah perjalanan bersama, bukan sekadar saya bercakap dan para peserta mendengar,” katanya.

Yatt berkata, program berkenaan juga menjadi ruang untuk peserta bermuhasabah mengenai perkara yang dikejar dalam kehidupan, insan yang mahu dibahagiakan serta persoalan lebih besar mengenai destinasi akhir kehidupan.

“Kita akan sama-sama bermuhasabah tentang apa yang kita kejar, siapa yang kita mahu bahagiakan dan akhirnya, rumah mana yang kita mahu diami untuk selama-lamanya,” katanya.

Bidadari Dambaan Syurga

Beliau berharap program bertemakan Bidadari Dambaan Syurga itu tidak sekadar menjadi medan berbicara mengenai syurga, sebaliknya mampu mencetuskan kesedaran dan semangat dalam kalangan peserta untuk melakukan perubahan selepas kembali menjalani kehidupan masing-masing.

Menambah kemeriahan program, pelbagai aktiviti turut disediakan termasuk jualan makanan, bacaan Yasin dan cabutan bertuah.

Program berkenaan turut dimeriahkan dengan kemunculan penyanyi Zizi Kirana yang bakal mengadakan persembahan khas untuk para pengunjung.

Scroll to Top