Buat andaian selepas mengenali karya terkini yang dikongsikan

syafil.syazwan@hmetro.com.my

SELEPAS hampir tiga tahun mengumpul material, penyanyi rap, Killa Driz kini bersedia mengorak langkah lebih berani menerusi pelancaran album sulungnya bertajuk Lepas Senja.

Album memuatkan 10 lagu itu menjadi platform terbaik buat dirinya memaparkan identiti sebenar serta perjalanan seni dilaluinya sepanjang sedekad pembabitannya dalam arena muzik hip-hop tempatan.

Killa Driz atau nama sebenarnya Idris Shah, 27, memberitahu bahawa pembentukan album berkenaan satu proses yang amat bermakna kerana ia mengandungi nilai sentimental sangat tinggi.

Sejak mula menceburkan diri dalam genre rap pada usia 15 tahun, Killa Driz mahu memastikan karya pertama ini benar-benar mendefinisikan siapa dirinya yang sebenar sebelum peminat membuat sebarang andaian.

“Saya mahu keluarkan album ini sebelum orang ramai membuat andaian mengenai siapa diri saya yang sebenar. Sebelum orang meneka, saya berikan karya ini terlebih dahulu supaya mereka boleh menilai.

“Jika saya tidak mengeluarkan album penuh, orang tidak akan tahu identiti muzik saya dan mungkin membuat andaian sendiri,” katanya.

Bercakap mengenai penghasilan album Lepas Senja, penyanyi lagu RAP$TAR itu menjelaskan bahawa dia sudah menghasilkan kira-kira 200 buah lagu sepanjang tempoh tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, hanya 20 lagu terbaik dipilih sebelum disunting menjadi 10 lagu akhir. Semua lagu digubah dan ditulis olehnya sendiri dengan sentuhan penerbit seperti SonaOne dan Khalif.

Proses pembentukan album ini turut mendapat bimbingan penuh daripada dua nama besar dalam industri hip-hop tanah air iaitu Joe Flizzow dan SonaOne.

Pengalaman bekerjasama dengan tokoh berpengalaman itu disifatkan sebagai satu cabaran yang mematangkan dirinya sebagai seorang pengkarya.

“Tekanan itu memang ada, tetapi tekanan membuatkan kita menjadi lebih baik. Kita perlukan seseorang yang boleh mendesak kita. Joe sangat tegas di dalam studio, tidak boleh lewat dan tidak boleh leka.

“Dia banyak mengajar saya walaupun tidak pernah menulis lirik untuk saya. Jika dibandingkan Killa Driz yang dahulu dengan yang sekarang, lagu-lagu baharu ini sangat berbeza dan jauh lebih baik,” katanya.

Selain sibuk membuat persiapan akhir menjelang pelancaran albumnya, Killa Driz turut dijadualkan bakal menggegarkan pentas acera MotorManiac Festival 2026 di Rooftop, MyTOWN Kuala Lumpur pada 5 hingga 6 September ini.

Kehadirannya di festival itu bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya dia bakal menghadiahkan persembahan selama 30 minit dengan menyampaikan beberapa lagu baharu daripada album sulungnya yang belum pernah diperdengarkan kepada umum.

Kemunculan Killa Driz di pentas festival itu turut diapit oleh rakan-rakan artis terkemuka di bawah label Def Jam Malaysia termasuklah Joe Flizzow, SonaOne, ALYPH, dan Ismail Izzani.

Menyentuh mengenai pembabitannya dalam dunia permotoran, penyanyi yang membesar di Damansara ini tidak menafikan bahawa minatnya terhadap sukan permotoran dan perniagaan berjalan seiring dengan kerjaya muziknya.

Bagi Killa Driz, budaya hip-hop dan dunia permotoran mempunyai tiang asas yang sama kerana kedua-duanya bermula daripada budaya jalanan (street culture).

“Bagi saya, kedua-duanya ialah budaya yang berasal dari jalanan yang berkembang. Kedua-duanya adalah budaya yang berbeza, tetapi persamaan utamanya ialah kedua-duanya bermula dari jalanan. Hip-hop dari jalanan, kereta juga dari jalanan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top