Sunway bantu penghuni pusat pemulihan bina hidup baharu

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Hulu Langat: Sebagai sebahagian usaha menyokong masyarakat yang memerlukan, Kumpulan Sunway melancarkan program makanan #SunwayforGood dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 di Rumah Sahabat.

Inisiatif ini turut membantu individu yang sedang menjalani pemulihan daripada ketagihan dadah bagi membina kemahiran, memperoleh pendapatan dan membuat persediaan untuk mereka kembali ke dalam masyarakat.

Pengarah Eksekutif, Pejabat Pengerusi Kumpulan Sunway, Ong Pang Yen berkata, mereka telah membeli lebih 5,000 burger daripada Burger Rumah Sahabat untuk diedarkan menerusi program makanan #SunwayforGood ini.

“Pembelian ini memberikan pendapatan dan peluang kepada penghuni Rumah Sahabat yang terlibat untuk mendapatkan akses kepada pasaran serta pengalaman secara langsung dalam memenuhi tempahan komersial dalam jumlah yang besar.

“Pada masa sama, mereka turut berpeluang membantu komuniti lain yang memerlukan,” katanya semasa berucap pada program makanan #SunwayforGood di Rumah Sahabat.

Semasa program ini juga, diadakan Sambutan Hari Kebangsaan yang turut dihadiri Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan penaung diraja SAY.

Baginda turut menyertai pemimpin Kumpulan Sunway, sukarelawan dan rakan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dalam aktiviti rewang iaitu penyediaan makanan secara gotong-royong selain melawat Rumah Sahabat.

Seramai 500 tetamu menghadiri sambutan ini, termasuk lebih 300 kanak-kanak dan penjaga daripada 10 rumah kebajikan di seluruh Selangor.

Mereka turut mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang disediakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan seperti melukis wajah, menyertai permainan tradisional, membuat persembahan dan menyanyikan lagu patriotik, ‘Tanggal 31’.

Selain itu, tiga penghuni Rumah Sahabat juga berkongsi kisah perjalanan pemulihan, peluang yang diberikan dan tempahan sebanyak 5,000 burger oleh Kumpulan Sunway yang disifatkan antara yang terbesar diterima setakat ini.

Mengulas lanjut, Pang Yen berkata, Rumah Sahabat merupakan tempat yang sesuai untuk mereka meraikan semangat merdeka.

“Kenapa saya berkata demikian? Kerana apabila kita bercakap tentang merdeka, kita bercakap tentang kebebasan. Kebebasan untuk menentukan masa depan kita sendiri dan itulah juga semangat yang kami lihat di Rumah Sahabat ini.

“Saya difahamkan Rumah Sahabat ditubuhkan pada tahun 1997 oleh Allahyarham Haji Zakaria bersama mereka yang sendiri pernah melalui pelbagai masalah, cabaran dan dugaan hidup.

“Mereka pernah jatuh. Mereka pernah melalui masa yang susah. Tetapi mereka bangun semula dan selepas mereka berjaya bangun serta berdikari, mereka tidak lupa kepada rakan-rakan yang masih dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan,” katanya.

Menurutnya, dengan bantuan dan bimbingan SAY, penghuni di Rumah Sahabat ini diberi latihan kemahiran dan keusahawanan seperti belajar membuat burger.

Katanya, menerusi pembelajaran ini juga, mereka mempelajari perkara lain seperti berniaga dan menjual produk seperti di pasar, acara sukan serta tempat awam.

“Mungkin bagi sesetengah orang, menjual burger nampak seperti perkara kecil. Tetapi bagi kami, ia bukan perkara kecil kerana di sebalik setiap burger itu, ada usaha gigih dan ada keazaman untuk berdikari serta mengubah kehidupan sendiri,” katanya.

Pang Yen turut memaklumkan seramai 13,500 individu akan menerima manfaat menerusi program makanan #SunwayforGood yang telah bermula sejak 24 Julai lalu hingga 16 September depan.

Katanya, antara yang menerima manfaat ini termasuklah komuniti orang asli, anak-anak yatim, warga emas dan keluarga kategori B40.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Aiman Syafiq Nazri pula menyifatkan kerjasama itu membawa makna yang lebih besar kepada Rumah Sahabat.

“Sunway bukan sekadar membeli burger. Mereka sebenarnya sedang membuka pasaran dan mewujudkan peluang pendapatan kepada usahawan ini dan apa yang menjadikan inisiatif ini lebih istimewa ialah burger mereka hasilkan kemudiannya disalurkan kepada komuniti memerlukan.

“Inisiatif #SunwayForGood ini menyasarkan pengagihan sekitar 5,000 burger kepada komuniti rentan, sambil mewujudkan peluang pendapatan kepada individu dalam pemulihan.

“Jadi, kalau kita fikirkan sejenak, kitarannya sangat menarik. Daripada individu yang pernah memerlukan sokongan, hari inimereka pula berada dalam kedudukan untuk memberi kembali kepada masyarakat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top