KAHERAH: Presiden China, Xi Jinping tiba di Mesir ketika perang Iran mendorong negara-negara Asia Barat menilai semula hubungan keselamatan dan ekonomi mereka, termasuk kebergantungan terhadap Amerika Syarikat (AS), selain membuka ruang kepada Beijing untuk memperluas pengaruhnya di rantau berkenaan.
Lawatan pertama Jinping ke Mesir dalam tempoh sedekad itu berlangsung ketika konflik berkenaan menjejaskan pasaran tenaga global dan menimbulkan persoalan mengenai kebolehpercayaan AS sebagai rakan keselamatan jangka panjang kepada negara-negara Asia Barat.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi menyambut ketibaan Jinping di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah sebelum kedua-dua pemimpin berjalan di atas permaidani merah, diiringi anggota tentera beruniform, penari tradisional dan rakyat Mesir yang mengibarkan bendera China, menurut rakaman televisyen kerajaan.
Sejak minggu lalu, media kerajaan Mesir giat menonjolkan hubungan ekonomi dan ketenteraan Kaherah yang semakin erat dengan Beijing, selain peranan Mesir sebagai negara Arab dan Afrika pertama yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China 70 tahun lalu.
“Mesir dan China menjadi rakan kongsi yang bersama-sama menyumbang kepada pengukuhan peranan Global South dalam sistem antarabangsa,” tulis Abdel Fattah dalam rencana yang disiarkan akhbar kerajaan Al-Ahram.
Hubungan ekonomi dan ketenteraan antara kedua-dua negara semakin berkembang dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pelaburan China bernilai berbilion dolar disalurkan ke sektor pembuatan, pelabuhan, tenaga solar, hidrogen hijau dan teknologi satelit.
Bulan lalu, Mesir turut mengadakan latihan ketenteraan bersama China buat kali kedua, ketika Beijing berusaha memperluas pengaruhnya di rantau berkenaan dan mencabar pengaruh AS.
Mesir menerima kira-kira AS$1.3 bilion (RM5.25 bilion) setahun dalam bentuk bantuan ketenteraan daripada AS.
Latihan itu menyaksikan penempatan jet pejuang J-16 China di Afrika buat kali pertama, selain latihan pertempuran udara antara jet berkenaan dan jet Rafale buatan Perancis, menurut media kerajaan China.
Mesir berusaha mengeratkan hubungan dengan Beijing sejak sekurang-kurangnya 2014, ketika Abdel Fattah melakukan lawatan ke China dan menandatangani perjanjian perkongsian strategik.
Menurut sarjana di badan pemikir Institut Royal United Services, H.A. Hellyer, perang di Gaza dan Iran mengukuhkan keinginan Kaherah untuk mempelbagaikan hubungan dengan kuasa lain.
“Mesir melihat dirinya sedang menuju ke arah autonomi strategik yang lebih besar. Ia mahukan hubungan kukuh dengan Washington, tetapi pada masa sama dengan Beijing, Moscow dan Eropah,” katanya.
Kedudukan Mesir yang bersempadan dengan Israel, Sudan dan Libya serta menjadi lokasi Terusan Suez, laluan perdagangan utama dunia, menjadikan negara itu rakan strategik penting bagi kuasa-kuasa asing di rantau yang bergolak.- AGENSI
