Akui gerakan strategik wanita

mahaizura@mediaprima.com.my

Wanita semakin ramai memegang jawatan pengurusan dan kepimpinan, namun peningkatan itu belum membawa makna sebenar jika mereka tidak diberikan peluang mengendalikan tugasan strategik, mengurus krisis dan membuat keputusan besar.

Malah, wanita membentuk 41.2 peratus tenaga kerja global, namun hanya 28.8 peratus berada dalam kepimpinan tertinggi sekali gus menimbulkan persoalan sama ada peningkatan representasi benar-benar diterjemahkan kepada peluang memimpin.

Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang juga Canselor dan Profesor Praktis INCEIF University, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, kemajuan ketara sudah dicapai dalam penyertaan wanita, namun representasi tidak seharusnya disamakan dengan kesaksamaan peluang.

Pengalaman Nor Shamsiah sendiri membuktikan perkara itu apabila ketika krisis kewangan Asia, beliau yang belum sedekad berkhidmat di BNM dan masih di peringkat pengurus diberikan tanggungjawab besar.

Beliau menyertai pasukan jelajah antarabangsa susulan penerbitan bon global Malaysia ketika pelaksanaan kawalan modal negara menerima kritikan pelabur antarabangsa sekali gus antara pengalaman yang disifatkannya sebagai ‘baptism of fire’

“Wanita perlu diberikan kepercayaan, tetapi lebih penting seseorang itu juga perlu membuktikan dirinya layak menerima kepercayaan berkenaan,” katanya pada sesi simposium bertajuk Membina Tempat Kerja yang Membolehkan Wanita Berkembang sempena WOMANi 2026 bertemakan Memperkasa Wanita di Tempat Kerja dan Memperkukuh Peranan Wanita dalam Kepimpinan, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, institusi tidak boleh sekadar mengejar sasaran angka sebaliknya wanita perlu diberikan pendedahan dan tugasan mencabar yang membolehkan mereka membina kredibiliti, membuat pertimbangan serta mempersiapkan diri untuk tanggungjawab lebih besar.

“Jika wanita tidak diberikan pengalaman itu pada kadar sama seperti lelaki, masalah ini akan bertambah dari semasa ke semasa. Wanita tidak perlu menjadi seperti lelaki untuk berjaya sebagai pemimpin kerana kepimpinan tidak mempunyai satu gender atau satu gaya,” katanya.

Teo Nie Ching

Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching pula berkata, kehadiran lebih ramai wanita dalam kepimpinan penting kerana pengalaman mereka boleh diterjemahkan kepada perubahan persekitaran dan dasar tempat kerja yang lebih memahami keperluan wanita serta keluarga.

Ketika mempunyai anak pada 2012, beliau berdepan ketiadaan bilik penyusuan di Parlimen sebelum memulakan kempen sehingga kemudahan itu akhirnya diwujudkan selain turut menyuarakan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja.

“Sebagai ibu muda, saya merasakan sangat penting untuk mempunyai sistem penjagaan kanak-kanak yang baik. Sebab itu saya memulakan kempen di Parlimen dan akhirnya sekarang kita juga mempunyai kemudahan itu,” katanya.

Namun, akuinya, perkembangan wanita dalam politik masih perlahan apabila mereka hanya membentuk kira-kira 13 peratus Ahli Parlimen ketika ini berbanding 11 hingga 12 peratus ketika beliau mula menyertai politik pada 2008.

Dr Yatela Zainal Abidin

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Dr Yatela Zainal Abidin pula berkata, pendekatan terhadap wanita juga perlu berubah daripada melihat mereka sekadar sebagai penerima manfaat kepada individu yang mampu memimpin dan membentuk penyelesaian untuk komuniti sendiri.

Beliau memberi contoh program pembangunan komuniti di Perak yang menyaksikan seorang wanita tampil mengetuai organisasi berasaskan komuniti selepas penduduk diberikan pendedahan berkenaan perubahan iklim, pemuliharaan bakau serta bagaimana ekosistem itu boleh menyokong keselamatan dan sumber pendapatan mereka.

“Di Yayasan Sime Darby, kita sudah melangkaui pendekatan melihat wanita hanya sebagai penerima manfaat tetapi mereka adalah pemimpin, juara komuniti dan turut mereka bentuk program bersama kami untuk menyelesaikan masalah di lapangan,” katanya.

Presiden Professional Women’s Network Kuala Lumpur (PWN KL), Jasmin Peters pula berkata, pertengahan kerjaya menjadi antara titik kritikal apabila wanita mula menilai semula hala tuju selepas berdepan pertambahan tanggungjawab keluarga, menjaga ibu bapa yang semakin berusia atau komitmen kehidupan lain.

Jasmin yang juga Pengasas dan Penasihat Kepimpinan The Candour Collective berkata, beliau sendiri pernah mengambil tempoh rehat kerjaya selama tujuh tahun dan antara masalah dihadapi wanita adalah apabila mereka tidak dapat melihat laluan untuk terus berkembang dalam organisasi.

“Perkara paling merugikan apabila wanita yang sangat berkebolehan kehilangan peluang dalam kerjaya kerana tiada pilihan, terpaksa mengecilkan potensi diri untuk menyesuaikan keadaan dan akhirnya sekadar menjadi satu lagi angka.

“Justeru, organisasi perlu menyediakan laluan kerjaya yang jelas dengan kerangka dan struktur sokongan termasuk bimbingan, penajaan kerjaya serta advokasi manakala wanita sendiri perlu berani tampil menyatakan kesediaan menerima tugasan dan peluang lebih besar,” katanya.

Datuk Nik Airina Nik Jaffar

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Nik Airina Nik Jaffar pula berkata, perubahan ketara dapat dilihat dalam industri infrastruktur yang dahulunya didominasi lelaki apabila wanita kini membentuk kira-kira 40 peratus tenaga kerja dan hampir 40 peratus kepimpinan kanan PLUS, malah melebihi 50 peratus di peringkat lembaga pengarah.

Katanya, perubahan itu banyak dipacu budaya organisasi selain peluang, kepercayaan serta program pembangunan kepimpinan dan bakat yang tersusun berdasarkan penilaian keupayaan bukannya gender.

“Ada satu jawatan yang sebelum ini 100 peratus dipimpin lelaki iaitu pengurus seksyen. Jadi saya beritahu pasukan sumber manusia, kita cuba berikan peluang kepada seorang wanita untuk mengetuai operasi itu.

“Operasi lebuh raya berjalan 24 jam dan dia perlu sentiasa bersedia serta boleh dipanggil bertugas. Pada awalnya dia kurang yakin tetapi kami memberikan galakan dan memberitahunya kami yakin dia mampu melakukannya.

“Alhamdulillah, dia membuktikan mampu mengetuai seksyen itu dengan sangat baik. Ini menunjukkan wanita mampu melakukannya apabila diberikan peluang,” katanya.

Nik Airina berkata, asas paling penting adalah budaya organisasi yang melangkaui perbezaan gender, kaum, senioriti dan usia.

“Tiada apa yang saya fikir wanita tidak boleh lakukan tetapi peluang mesti diberikan, malah program pembangunan yang tersusun dan budaya sangat penting.

“Di PLUS, budaya itu begitu kuat sehingga kita tidak perlu bercakap tentang sama ada wanita mampu memimpin kerana mereka sudah pun memimpin dan diberikan peluang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top