nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Dewan Ulama PAS Pusat hari ini menerima dan meluluskan 10 usul yang dibentang, dibahas dan tanpa bahas.
Ketua Penerangannya Mohd Nor Hamzah berkata, tiga usul diterima untuk dibahas, manakala tujuh usul diterima tanpa bahas.
Katanya, tiga usul diterima untuk dibahas membabitkan usul memperkasa agenda penyatuan ummah ke arah pengukuhan politik Melayu Islam dan kestabilan negara.
Selain itu katanya, dua usul lagi adalah usul menangani krisis sosial dan moral serta sokongan kepada institusi Raja-Raja Melayu dalam mempertahankan kedaulatan Islam.
“Tujuh usul diterima tanpa bahas pula membabitkan usul mempercepatkan pelaksanaan garis panduan hiburan mesra syariah terutama negeri SG4 Kedah dan Perlis, usul memperkukuh dakwah digital dan memperkukuhkan wala’ dan ketaatan kepada kepimpinan parti dalam menghadapi PRU16.
“Selain itu, usul keempat mendesak penguatkuasaaan undang-undang isu 3R dilaksanakan secara adil dan telus dan isu mempertahankan dasar pendidikan kebangsaan dan menolak pengiktirafan UEC.
“Usul keenam menyokong ketetapan Majlis Syura Ulama dan PAS Pusat berhubung hala tuju kerjasama politik dan usul terakhir adalah memperkasakan kekuatan jentera parti melalui pemilihan calon daripada aktivis penggerak parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul berkenaan di Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat, hari ini.
Mohd Nor ketika membentangkan usul memperkasa agenda penyatuan ummah, pihaknya berpandangan bahawa salah satu natijah penting daripada kejayaan agenda itu ialah terbentuknya kekuatan politik Melayu-Islam yang kukuh, matang, berprinsip, berwibawa dan mampu memimpin negara.
Katanya, pengukuhan kekuatan politik Melayu-Islam yang dimaksudkan ialah pembinaan kekuatan politik majoriti Melayu-Islam yang mampu memimpin negara berasaskan Islam, Perlembagaan Persekutuan dan prinsip keadilan kepada seluruh rakyat tanpa menafikan hak sah mana-mana kaum dan agama.
“Justeru, pengukuhan kekuatan politik Melayu-Islam bukanlah agenda perkauman, permusuhan kaum atau usaha menafikan hak masyarakat bukan Islam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

