Tanggungjawab bina negara

Kemerdekaan sesebuah negara tidak selesai pada saat bendera penjajah diturunkan dan bendera negara sendiri dinaikkan. Kemerdekaan sebenarnya membuka lembaran tanggungjawab yang jauh lebih besar. Jika generasi terdahulu berjuang untuk mendapatkan kebebasan, generasi selepas merdeka pula memikul amanah untuk mengisi kebebasan itu dengan ilmu, kemajuan, keamanan dan kehidupan yang bermaruah.

Bagi seorang Muslim, membangunkan negara bukan tanggungjawab duniawi yang terpisah daripada agama. Islam mendidik manusia supaya menjadi hamba Allah yang soleh dan pada masa sama membawa kebaikan kepada kehidupan manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra’d ayat 11)

Ayat ini memberikan asas penting kepada pembinaan masyarakat. Perubahan sebuah negara bermula daripada perubahan manusia yang mendiaminya. Sikap malas perlu berubah menjadi rajin, kejahilan kepada ilmu, sikap sambil lewa kepada amanah, perpecahan kepada kerjasama dan budaya mengambil kesempatan kepada integriti. Negara yang hebat akhirnya dibina oleh manusia yang mempunyai nilai yang hebat.

Selepas merdeka, antara tanggungjawab paling besar ialah membina kekuatan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada Mukmin yang lemah, dan pada kedua-duanya terdapat kebaikan. Bersungguh-sungguhlah terhadap perkara yang memberikan manfaat kepadamu, mohonlah pertolongan daripada Allah dan janganlah kamu bersikap lemah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Kekuatan yang disebut dalam hadis ini memberikan pengajaran yang luas. Umat Islam perlu membina kekuatan iman, ilmu, pemikiran, ekonomi, teknologi, kesihatan, pendidikan dan keupayaan mengurus kehidupan. Dalam dunia moden, sesebuah negara tidak cukup hanya mempunyai hasil bumi dan bangunan yang tinggi. Negara memerlukan modal insan yang berilmu, ekonomi berdaya tahan, teknologi dikuasai sendiri, sistem pendidikan bermutu, tadbir urus berintegriti dan masyarakat mempunyai jati diri.

Sebuah negara mungkin merdeka secara politik, tetapi boleh menjadi terlalu bergantung kepada negara lain dalam teknologi, makanan, kepakaran, ilmu dan ekonomi. Generasi muda Muslim perlu berada dalam makmal, universiti, pusat penyelidikan, institusi ekonomi, bidang teknologi dan sektor profesional tanpa meninggalkan masjid, akhlak serta jati diri agamanya.

Pada masa yang sama, negara tidak akan maju dengan kepakaran semata-mata jika integriti runtuh. Seorang Muslim yang bekerja sebagai guru membangunkan negara apabila mendidik dengan amanah. Islam juga tidak mengajar umatnya menjadi pemerhati pasif terhadap kerosakan masyarakat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu maka dengan lidahnya. Jika tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Muslim)

Prinsip ini perlu dilaksanakan dengan ilmu, hikmah, kemampuan dan menurut bidang kuasa yang sah. Dalam kehidupan bernegara, membanteras rasuah, penipuan, penyalahgunaan kuasa, keruntuhan akhlak dan ketidakadilan tidak semestinya dilakukan dengan kekerasan atau tindakan di luar undang-undang. Pendidikan, nasihat, penguatkuasaan sah dan pembinaan sistem yang telus semuanya saluran pembaikan masyarakat.

Sejarah Islam menunjukkan ulama tidak hanya mengajar hukum ibadat secara terasing daripada kehidupan masyarakat. Imam al-Nawawi, misalnya, melihat pendidikan sebagai antara urusan agama yang paling penting dan termasuk fardu kifayah. Beliau bukan sahaja menghasilkan karya yang menjadi rujukan umat sehingga hari ini.

Tradisi yang sama dapat dilihat di Alam Melayu. Tok Kenali atau Muhammad Yusuf bin Ahmad antara tokoh besar yang membangunkan pemikiran dan pendidikan Islam di Kelantan serta Alam Melayu pada awal abad ke-20. Sumbangan ulama seperti beliau menunjukkan bahawa membangunkan masyarakat melalui pendidikan agama, institusi pengajian dan penulisan sebahagian daripada pembinaan negara.

Pengalaman sejarah ini membawa satu pengajaran besar iaitu negara tidak dibangunkan oleh ahli politik sahaja. Negara dibangunkan oleh seluruh rakyat.

Seorang Muslim tidak sepatutnya sekadar bertanya apa yang negara telah berikan kepadanya. Ada waktunya dia perlu bertanya ‘apakah yang telah aku berikan kepada negara?’ Membayar cukai yang diwajibkan, menjaga kemudahan awam, mematuhi undang-undang yang tidak bercanggah dengan syariat, membantu masyarakat, menjaga kebersihan, menuntut ilmu, bekerja dengan amanah dan mendidik anak dengan baik mungkin kelihatan sederhana. Namun apabila jutaan rakyat melakukannya secara konsisten, itulah sebenarnya kekuatan negara.

Mengisi kemerdekaan pula ialah memastikan nikmat yang diwarisi daripada generasi terdahulu diserahkan kepada generasi akan datang dalam keadaan lebih baik. Bagi seorang Muslim, usaha itu bukan sahaja suatu tanggungjawab kewarganegaraan, bahkan sebahagian daripada amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top