Niezam rancang ambil tindakan undang-undang individu tak bertanggungjawab

am@hmetro.com.my

Damansara : Selepas sekian lama berdiam diri, pelakon, Niezam Zaidi akhirnya tampil memberi penjelasan mengenai isu yang mengaitkan dirinya dengan pelakon, Fify Azmi dan seorang pempengaruh dari Singapura yang hangat diperkatakan.

Niezam atau nama sebenarnya, Mohd Niezam Mohd Zaidi, 33, berkata, dia tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang dipercayai menjadi punca isu berkenaan hangat diperkatakan sekali gus menjejaskan nama baiknya.

“Demi Allah, apa sahaja naratif yang diperkatakan itu sama sekali tidak benar. Apa yang berlaku sebenarnya membabitkan aib dan privasi seseorang. Ia bukan seperti digambarkan.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu bercerita terlalu banyak mengenai perkara ini kerana apabila kita bersuara, bukan semua orang akan percaya.

“Kalau seseorang memang tidak suka kita, walaupun kita berada di pihak yang benar, belum tentu mereka akan percaya,” katanya ketika ditemui pada pelancaran trailer dan poster filem Orang Perang di sini, hari ini.

Ditanya tindakannya lagi, kata Niezam, dia dimaklumkan mempunyai peluang yang cerah sekiranya mengambil tindakan undang-undang berdasarkan bukti yang dimiliki.

Katanya, dia belum membuat keputusan untuk meneruskan tindakan undang-undang itu kerana memikirkan kesan yang mungkin ditanggung keluarga individu berkenaan.

“Apabila saya dengar perkara itu, saya terfikir tentang keluarganya.

“Saya fikir, untuk apa saya mahu lakukan sesuatu yang akhirnya mungkin memberi kesan kepada keluarga mereka? Allah lebih mengetahui apa yang saya rasa,” katanya.

Pada masa sama, kata Niezam, dia sudah memaafkan semua pihak yang terbabit dalam isu berkenaan dan memilih untuk memberikan tumpuan kepada kerjaya seninya.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana dia tidak mahu mencari masalah atau bermusuh dengan mana-mana pihak berhubung isu berkenaan.

“Saya maafkan sesiapa sahaja yang pernah bercakap mengenai saya. Termasuk jenama besar yang pernah mengolok-olok atau menggunakan perkataan ‘cadar’ untuk mempermainkan nama saya, jangan risau, saya maafkan semua. Saya tidak mahu mencari musuh dengan sesiapa,” katanya.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila pelakon Fify Azmi atau Nur Afiqah Mohamed Azmi, 36, membuat pendedahan dirinya dikhianati kekasihnya yang digelar sebagai NZ yang berlaku curang, Jun lalu.

Biarpun Fify tidak mendedahkan nama sebenar, namun warganet mula mengaitkan isu curang itu dengan Niezam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top