Anak bekas PM ditahan kes rasuah beli pesawat

COLOMBO: Badan antirasuah utama Sri Lanka pada Jumaat menahan anggota parlimen, Namal Rajapaksa, anak kepada bekas Presiden Mahinda Rajapaksa, berhubung siasatan kes rasuah berkaitan pembelian pesawat Airbus pada 2013.

Suruhanjaya Siasatan Dakwaan Rasuah atau Korupsi (CIABOC) berkata, lelaki berusia 40 tahun yang merupakan anggota keluarga Rajapaksa yang pernah berpengaruh itu dipanggil untuk disoal siasat berhubung urus niaga Airbus.

“Anggota parlimen itu ditahan selepas soal siasat dan akan dibawa ke hadapan majistret,” kata seorang pegawai suruhanjaya berkenaan.

Belum jelas apakah pertuduhan yang akan dikenakan terhadap Rajapaksa.

Peguamnya, Nishantha Dayananda, mengesahkan penahanan itu berhubung perjanjian kontroversi bernilai AS$2.3 bilion (RM9.30 bilion)  yang akhirnya dibatalkan oleh kerajaan baharu pada 2016.

CIABOC turut menyoal bekas presiden itu sendiri pada Mei berhubung dakwaan bahawa beliau menerima bayaran komisen daripada pembelian pesawat berkenaan.

Siasatan antirasuah itu tertumpu kepada dakwaan bahawa pengeluar pesawat Eropah berkenaan menyalurkan sebahagian daripada wang pembelian kepada pegawai kanan dan ahli politik Sri Lanka.

Keluarga Rajapaksa menafikan menerima rasuah dan menolak dakwaan korupsi terhadap mereka dan menganggapnya bermotifkan politik. – AFP

Scroll to Top