GURUN: Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun maut tersepit pada tayar belakang lori dalam kejadian di Jalan Gurun Jeniang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, nahas pada pukul 2 petang itu membabitkan lori dan motosikal ditunggang remaja berusia 14 tahun bersama mangsa yang merupakan pembonce
“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika lori itu tiba di lokasi kejadian sambil bergerak perlahan untuk berhenti.
“Ketika itu, sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti berhenti secara mengejut di hadapan lori itu susulan lampu isyarat merah.
“Ini menyebabkan pemandu lori cuba mengelak ke laluan susur kiri sebelum dia terdengar dentuman dari arah belakang sisi kiri sebelum mendapati motosikal dinaiki kanak-kanak dan remaja lelaki terbabit melanggar bahagian belakang lori, ” katanya.
Hanyan berkata, pemandu lori terlibat mendapati mangsa tersepit pada tayar belakang lori manakala penunggang motosikal jatuh di atas jalan raya.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal hanya cedera ringan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN

