Vida cari gabungan nama dengan Fazley, netizen 'layan' dengan #DIDAlamhatiVIDA

Kuala Lumpur : Belum sampai ke jenjang pelamin, usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida sudah ‘test market’ hashtag untuk hari bahagia bersama penyanyi, Datuk Fazley Yaakob.

Vida atau Hasmiza Othman, 54, meminta pandangan netizen mengenai gabungan nama paling sesuai untuk digunakan sempena majlis bahagia mereka nanti.

Soalan itu diajukan menerusi akaun Threads miliknya, hari ini.

“Tolong combine (gabungkan) # kan nama saya dengan Dida (Datuk Fazley) yang sesuai untuk majlis berbahagia nanti,” tulisnya sambil menyertakan emoji hati berwarna merah jambu.

Antara gabungan tanda pagar yang dicadangkan termasuk #HasmizaIniYangHanyutkanDida, #DIDAlamhatiVIDA, #Didalavida dan #LadidaVidaloca.

Tidak sampai sejam dimuat naik, hantaran berkenaan meraih hampir 300 komen daripada netizen yang memberikan pelbagai idea, termasuk yang mengundang senyuman.

Dalam pada itu, hubungan romantik Vida dan Fazley, penyanyi lagu Asmara Ini, bukan lagi rahsia apabila kedua-duanya semakin terbuka berkongsi kemesraan.

Pasangan itu mula akrab selepas terbabit dalam program Talk To My Manager.

Malah, Vida dan Fazley sebelum ini turut memberi bayangan untuk memberi laluan kepada pasangan Bella Astillah dan Syed Saddiq terlebih dahulu sebelum mereka melangkah ke fasa seterusnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top