Kuala Lumpur : “Saya tidak menyesal,” kata pelakon dan pelawak, Harith Iskander, apabila ditanya sama ada beliau pernah berasa kecewa apabila lawak jenakanya beberapa kali mencetus kontroversi.
Meskipun mengakui bahawa perbuatannya itu mungkin satu kesilapan, beliau tidak pernah menyesali atau meratapi perkara yang sudah berlaku.
“Tidak, saya tidak menyesal kerana saya belajar daripada kesilapan. Saya tidak akan berkata, ‘Aduh, sepatutnya saya tidak buat begitu’. Jika begitu, saya tidak akan belajar apa-apa,” kongsinya dalam satu temubual hari ini.
“Saya faham bahawa ia bukanlah perkara terbaik untuk diucapkan atau dilakukan, tetapi saya mengambil iktibar daripadanya.
“Oh ya, saya sudah banyak kali berdepan masalah,” akuinya apabila ditanya sama ada insiden berkenaan mengubah pendekatannya dalam menghasilkan kandungan komedi.
“Saya akan lebih berhati-hati dan memahami konteks, ia adalah satu pengajaran,” tegasnya.
Pada Julai lalu, Datin Seri Rosmah Mansor menfailkan saman terhadap Harith atas dakwaan fitnah dan menjadi mangsa hinaan fizikal (body shaming) sewaktu satu persembahan di sebuah hotel dekat Melaka, Januari lalu.
Tahun lalu, beliau didenda RM10,000 berhubung satu hantaran di media sosial yang menampilkan menu sebuah kedai kopi dipanggil “Ham Sap Kopi”, selain merujuk kepada kontroversi sandwic ‘ham & cheese’ yang tercetus pada Januari.
Malah, keluarganya turut menerima ugutan bunuh yang serius didakwa berpunca daripada kontroversi berkenaan.
Ugutan itu turut memaksa Harith membatalkan persembahannya di Dewan Filharmonik Petronas.
© New Straits Times Press (M) Bhd

