Rahsia atlet pecut UPSI

Rahsia atlet pecut UPSI

DOMINASI Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam acara pecut Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 tidak berlaku secara kebetulan apabila empat emas menerusi acara 100 meter (m) dan 200m lelaki serta wanita berjaya menjadi milik atlet universiti berkenaan.

Lebih menarik, pencapaian itu memperlihatkan kekuatan UPSI yang bukan hanya bergantung kepada bakat individu, sebaliknya dibentuk menerusi pendekatan latihan dan sokongan sains sukan secara menyeluruh.

Danish Iftikhar Muhammad Roslee menjadi watak utama dalam penguasaan lelaki apabila meraih emas 100m dan 200m, manakala Fatin Ilyana Mat Nayan dan Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka masing-masing menyumbang emas dalam acara 100m dan 200m wanita.

Pengarah Pusat Sukan UPSI, Mohammad Faeez Mohamad Alias berkata, kerjasama erat antara Pusat Sukan serta Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKj) menjadi antara tunjang kepada pencapaian tersebut.

“Kerjasama erat antara Pusat Sukan dan FSSKj dalam memenuhi keperluan latihan dan prestasi atlet membolehkan pencapaian ini direalisasikan.

“Latihan yang konsisten serta komitmen tinggi daripada atlet turut menjadi faktor penting kepada kejayaan mereka dalam acara masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, UPSI turut memberi penekanan terhadap aspek sains sukan dengan kepakaran daripada fakulti berkenaan, meliputi psikologi, rehabilitasi, penyesuaian fizikal dan aspek lain yang berkaitan secara menyeluruh dan holistik.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan prestasi atlet bukan sahaja dibangunkan dari segi fizikal, malah aspek mental, pemulihan dan pengurusan prestasi turut diberikan perhatian,” katanya.

Rahsia atlet pecut UPSI

Danish unggul menguasai kedua-dua acara pecut 100m dan 200m SUKIPT 2026. Foto Bernama

Menurut Faeez, Pusat Sukan UPSI juga memainkan peranan dalam memastikan kebajikan atlet sentiasa terpelihara sepanjang menjalani latihan dan menghadapi pertandingan.

“Pusat Sukan menyokong kebajikan atlet termasuk penyediaan venue latihan, pengurusan program latihan, pengurusan prestasi serta urusan penyertaan atlet dalam pertandingan,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama antara semua pihak turut mewujudkan persekitaran yang membolehkan atlet memberi tumpuan sepenuhnya terhadap latihan dan pertandingan.

“Kerjasama yang kukuh ini membolehkan atlet menjalani latihan dengan baik tanpa tekanan daripada elemen luar yang boleh mengganggu prestasi mereka,” katanya.

Dalam saingan 100m lelaki, Danish mencatat 10.36 saat (s) untuk meraih emas selepas terlebih dahulu memecahkan rekod kejohanan dengan catatan 10.44s pada saringan.

Dia kemudian meneruskan momentum dalam 200m apabila merekodkan 20.77s, sekali gus memecahkan rekod kejohanan 21.11s milik Aravinn Thevar dari HELP University yang dilakukan pada 2016.

Catatan 20.77s itu turut menyaksikan Danish menghampiri rekod kebangsaan miliknya iaitu 20.73s yang dilakukan pada 2025, dengan perbezaan hanya 0.04s.

Bagi acara wanita pula, Fatin meraih emas 100m dengan catatan 11.93s, memperbaiki rekod peribadi 11.96s yang dilakukan pada 2022.

Wardatul merakam momen indah selepas mengungguli acara 200m SUKIPT. Foto Bernama
.

Wardatul merakam momen indah selepas mengungguli acara 200m SUKIPT. Foto Bernama
.

Sementara itu, Wardatul melengkapkan sapuan UPSI dalam acara pecut wanita apabila memenangi 200m dengan catatan 24.76s.

Dalam 200m wanita, Nurul Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dari Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih perak dengan 25.02s, manakala Tay Shuen Min membawa pulang gangsa selepas mencatat 25.09s.

Penguasaan empat acara utama itu sekali gus menjadi gambaran jelas bahawa kekuatan UPSI dalam olahraga, khususnya acara pecut, dibangunkan menerusi gabungan bakat, latihan konsisten dan sokongan kepakaran sains sukan.

Pendekatan bersepadu itu bukan sahaja membantu atlet mencapai prestasi terbaik ketika pertandingan, malah memberi gambaran bahawa pembangunan atlet di UPSI turut mengambil kira aspek fizikal, mental, pemulihan, kebajikan dan pengurusan prestasi secara menyeluruh.

Scroll to Top