Pas siapkan ‘frontliner’ medan maya, tangkis serangan persepsi menjelang PRU16

​KOTA BHARU – Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bakal menyaksikan pertempuran era baharu membabitkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai senjata utama bagi mendepani cabaran musuh politik di medan maya.

​Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, bagi menggalas cabaran tersebut, parti itu telah berjaya melahirkan seramai 43 graduan menerusi Akademi Influencer Pas sebagai barisan hadapan (frontliner) bagi menangkis pertempuran persepsi.

​Menurutnya, kesemua peserta berkenaan berjaya menamatkan kursus selepas melepasi beberapa fasa penilaian dan latihan fizikal serta secara dalam talian daripada keseluruhan 81 peserta.

​”Mereka yang berjaya menamatkan kursus ini telah menerima sijil pada Muktamar Muslimat Pas dan Muktamar Dewan Pemuda Pas baru-baru ini.

​”Mereka ini akan menjadi frontliner bertempur di medan bayang, menghasilkan video-video dan juga menjawab isu-isu, sekali gus menjadi antara tenaga kita untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.

​Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli memberitahu, susulan kejayaan fasa pertama itu, pihak Lajnah Penerangan Pas Pusat bakal melancarkan Akademi Influencer 2.0 dengan membuka penyertaan dari kawasan-kawasan di seluruh negara.

​Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan peringkat kawasan supaya lebih proaktif menghantar wakil yang berprestasi dan mampu memberikan komitmen padu.

​”Ini pertempuran alaf baru, pertempuran medan baru. PRU16 ini akan menyaksikan pertempuran ala AI yang akan menjadi senjata utama kita untuk berlawan dengan musuh,” katanya.

​Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai penganjuran Himpunan Mujahid Cyber di Temerloh, Pahang baru-baru ini yang menerima penyertaan seramai 212 peserta, termasuk 92 peserta dari Pahang.

​Bagaimanapun, beliau meluahkan rasa terkilan apabila terdapat sebilangan negeri yang menghantar penyertaan sedikit atas alasan kekangan kewangan.

​”Kita harapkan negeri-negeri dan kawasan-kawasan menjelang pilihan raya akan datang dapat memberikan komitmen kerana himpunan ini akan diadakan lagi khusus untuk memberi taklimat terkini cara bertempur di medan siber,” katanya.

Scroll to Top