PUSPAKOM rancang operasi 24 jam sehari mulai 2027

Klang: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) merancang untuk melanjutkan waktu operasinya kepada 24 jam sehari bermula Januari depan bagi memberikan kemudahan lebih besar kepada orang ramai melakukan pemeriksaan kenderaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mahmood Razak Bahman berkata, pelaksanaan itu bagaimanapun bergantung kepada maklum balas orang ramai terhadap pelanjutan waktu operasi kepada tujuh hari seminggu bermula November ini, serta ketersediaan tenaga kerja yang mencukupi.

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Komersial (NUCW) dan Kesatuan Kakitangan PUSPAKOM untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai konsep yang menyediakan waktu bekerja lebih munasabah. Khususnya (kerja) lapan hingga 10 jam sehari berbanding 12 jam sekarang, serta dua hari rehat seminggu berbanding satu hari sebelum ini.

“Bagi operasi 24 jam pula, sasaran pelancarannya adalah pada Januari depan, tertakluk kepada maklum balas orang ramai terhadap operasi tujuh hari seminggu, kesediaan tenaga kerja dan kapasiti operasi,” katanya selepas merasmikan acara GiCheck Auto Weekend 2026 di premis AEON Bukit Tinggi di sini hari ini.

Sementara itu, Mahmood berkata PUSPAKOM sedang memperkenalkan beberapa inovasi lain, termasuk anugerah pengiktirafan “wira komuniti” yang baharu dan peluasan perkhidmatan pemeriksaan di lokasi (on-site inspection) untuk pelanggan. Beliau berkata inisiatif tersebut merangkumi pengenalan Anugerah PUSPAKOM Towering Malaysian serta perkhidmatan pemeriksaan di lokasi yang dipertingkatkan bagi memudahkan proses pemeriksaan untuk pemilik kenderaan.

“Program anugerah baharu ini dicipta khusus untuk menghormati individu yang membawa perubahan positif kepada masyarakat atau alam sekitar, walaupun sumbangan mereka sering tidak disedari oleh orang ramai.

“Inisiatif pengiktirafan ini sedang dibangunkan dengan kerjasama rakan strategik dan agensi media terpilih, dengan butiran lanjut akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif pemodenan itu disokong oleh pelbagai aktiviti interaktif, termasuk GiCheck Auto Weekend 2026, yang bertujuan menyampaikan mesej keselamatan jalan raya kepada orang ramai melalui pembabitan secara praktikal.

Beliau berkata langkah-langkah itu dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi PUSPAKOM secara keseluruhan di samping mengeratkan hubungan antara agensi pemeriksaan kenderaan itu dengan masyarakat setempat.

Acara sulung GiCheck Auto Weekend 2026 itu menampilkan pelbagai demonstrasi teknikal, termasuk simulasi “Memandu Di Bawah Pengaruh Alkohol/Dadah” (DUI), ujian alat penguji tali pinggang keledar dan pameran teknologi Sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS).

Dianjurkan sempena sambutan Bulan Kebangsaan, acara itu membawa tema “Bersama Memandu ke Arah Jalan Raya Lebih Selamat.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top