am@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menggariskan tiga perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak terbabit dalam usaha memperkukuh perjuangan menentang penyakit kanser di negara ini.
Titah baginda, tiga perkara berkenaan penting bagi memastikan usaha menangani kanser tidak terhenti pada penyelidikan atau dasar semata-mata, sebaliknya memberi kesan kepada kehidupan pesakit dan keluarga yang berdepan penyakit itu.
“Pertama, saintis dan doktor kita meneruskan penyelidikan yang bukan sahaja bermanfaat tetapi juga kukuh dan teliti dari segi saintifik, supaya ia sampai kepada pesakit di setiap negeri dan bukan hanya di bandar-bandar besar.
“Kedua, pembuat dasar perlu mendengar dengan teliti bukti serta kisah peribadi yang dikongsikan di sini dan membawanya ke dalam strategi kanser nasional.
“Ketiga, setiap seorang daripada kita mengingati bahawa perjuangan menentang kanser bermula dengan pilihan kita sendiri, tempat kerja kita serta kesediaan kita untuk bercakap secara terbuka mengenai penyakit yang terlalu kerap dibincangkan dalam nada berbisik,” titah baginda ketika merasmikan Kongres Kanser Kebangsaan Malaysia 2026 di Universiti Sunway, di sini hari ini.
Hadir sama Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah serta Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Ismuni Bohari.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah tema Kongres Kanser Nasional Malaysia 2026 iaitu Merapatkan Jurang, Membina Harapan, Memperkasa Kehidupan, mencerminkan keperluan untuk memastikan keadilan dalam usaha menangani kanser, selain menggabungkan sains dan belas ihsan dalam memberi harapan kepada pesakit.
Baginda bertitah, usaha itu pada akhirnya bukan hanya mengenai penyakit, tetapi turut menyentuh kehidupan manusia, keluarga dan masa depan generasi akan datang.
Justeru baginda menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian komuniti kesihatan dan penyelidikan Malaysia serta berharap kongres berkenaan dapat mencetuskan lebih banyak usaha dalam menangani kanser.
© New Straits Times Press (M) Bhd

