Lebih 14 jam padam kebakaran

Georgetown: Pasukan bomba mengambil masa lebih 14 jam untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran yang memusnahkan lima premis perniagaan berhampiran kawasan ikon warisan Pulau Pinang, Jeti Chew di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata, kerja pemeriksaan dan pemadaman bagi memastikan tiada bahaya lain atau bara api yang boleh menyebabkan berlaku kebakaran selesai sepenuhnya pada jam 5 petang tadi.

“Api berjaya dipadamkan pada jam 6.20 pagi. Kebakaran terbabit turut memusnahkan empat kereta iaitu Honda City, Mercedes-Benz, BMW dan Suzuki Swift,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seramai 25 anggota bomba termasuk penyelia daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai, BBP Jalan Perak dan BBP Paya Terubong terbabit dalam operasi pemadaman yang turut dibantu 18 Pasukan Bomba Sukarela berhampiran selain polis dan Tenaga Nasional Berhad.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top