mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya terus masuk bilik dan tengok dia terbaring. Saya pergi mendekatinya dan saya cium dia. Saya cakap, Jo, saya sayang awak Jo.
“10 tahun kita kahwin, saya kira beruntung dan saya ‘happy’ dengan awak. Ampunkan segala dosa saya. Saya pun ampunkan segala dosa awak,” demikian kata Zarinah Zainal, balu Joey Bumiputra Rockers (BPR) kepada arwah suaminya Sabtu lalu.
Menambah lagi, Zarinah berkata, dia memberitahu suaminya yang terbaring kaku ketika itu bahawa dia bersedia melepaskannya pergi.
“Kalau ditakdirkan awak pergi, awak jangan susah hati. Saya reda.
Awak pergilah. Saya kuat insya-Allah. Nanti kita jumpa balik.
Selepas itu, saya mengucap kalimah syahadah ditelinganya.
“Kemudian saya ucapkan kalimah Allahuakbar sebanyak tiga kali. Dia buka mata sikit. Dia tengok saya dan senyum. Tak lama lepas itu doktor datang dan minta kami keluar dari situ.
“Mereka nak buat semula ‘defibrilator’ (sentak jantung). Lebih kurang sejam juga mereka buat tapi tiada apa-apa sehinggalah Joey pergi meninggalkan kita,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, genap seminggu Joey atau Johari Mat Rozekhi, 63, meninggalkan mereka sekeluarga, namun kehilangannya masih terasa.
Zarinah mendirikan rumah tangga dengan Joey pada 8 Disember 2017. Dia ketika itu berusia 51 tahun, manakala Joey pula 54 tahun.
Ia perkahwinan kedua Joey selepas 22 tahun menduda. Dia pernah mendirikan rumahtangga dengan wanita warga Singapura, Anita Samat pada 1991 dan bercerai 1995.
Perkahwinan ini dikurniakan kembar lelaki, Danial Iskandar dan Dinnie Dzulqarnaen, 36, dan tinggal dengan bekas isterinya di Singapura.
Terdahulu, penyanyi lahu popular Seribu Tahun Takkan Mungkin ini
meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada jam 8.11 pagi 29 Ogos lalu.
Joey mengadakan persembahan di Laman Santai, Istana Budaya pada malam sebelumnya dan selepas menyanyikan dua lagu, dia jatuh rebah dan dikejarkan ke HKL oleh ambulans.
Pemeriksaan doktor kemudian mendapati ada pendarahan di dalam kepalanya serta komplikasi jantung tersumbat.
Jenazahnya kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada petang terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd
