RESTORAN Azmi Ikan Stim Tempoyak atau ‘Azmi Steam Fish’ memang dikenali ramai kerana masakan ikan liar Sungai Jelai berasaskan campuran asam tempoyak antara makanan tempatan daerah Lipis, Pahang warisan sejak 200 tahun lalu.
\Sekali pelanggan datang menjamu selera dengan menikmati rasa sajian asam tempoyak ikan liar Sungai Jelai antaranya patin buah, tenggalan, baung, kelah, kenerak, tilapia, temelian, sebarau dan kerai, mereka pasti ingin datang semula ke restoran yang terletak di Bandar Baharu Seberang Jelai, Kuala Lipis itu.

Restoran menu ikan liar Sungai Jelai itu dimiliki oleh Mohd. Kamal Azmi, 64, yang merupakan seorang perintis masakan tempatan berasaskan ikan Sungai Jelai di Pahang yang memulakan perniagaannya pada 2002 di pekan Padang Tengku.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Mohd. Kamal memberitahu, dia memulakan perniagaan makanan tempatan berasaskan asam tempoyak campuran ikan liar Sungai Jelai cuma secara kecil-kecilan sahaja di pekan Padang Tengku atas hasrat mewarisi masakan itu yang dikenali dalam kalangan pedagang luar dan tempatan sejak era pendudukan British di Lipis pada abad ke-19.
“Mungkin tuah dan rezeki menyebelahi saya ketika awal perniagaan, masakan tempatan asam tempoyak cukup digemari ramai khususnya penduduk tempatan dan pengunjung yang singgah ketika dalam perjalanan ke Kelantan dan tempat lain.
“Saya mula mencongak untuk membesarkan perniagaan makanan tempatan autentik ini dengan memindahkan operasi restoran ke Bandar Baharu Kuala Lipis yang terletak di Seberang Jelai pada 2011,” katanya di Bandar Baharu Seberang Jelai baru-baru ini.
Mohd. Kamal berkata, restoran baharu itu dikenali sebagai Azmi Ikan Stim Tempoyak mula berkembang dan menjadi sinonim dalam kalangan penggemar masakan asam tempoyak dari seluruh Pahang malahan boleh dikatakan seluruh Semenanjung singgah di situ.
“Saya memperoleh ikan Sungai Jelai daripada nelayan sungai dan juga penternak ikan sangkar daerah.
“Mereka ini antara yang banyak membantu perniagaan ini. Merekalah yang membekalkan ikan liar bagi membolehkan saya mengembangkan perniagaan ini,” ceritanya.
Menurutnya, dia mengambil kesempatan dengan kehadiran ramai pengunjung dari seluruh negara untuk mempromosi makanan tempata berasaskan asam tempoyak itu yang mempunyai kelainan rasa dan aroma sekali gus menambat selera penggemar.
Ceritanya, dia memperoleh asam tempoyak ‘ori’ dan berkualiti daripada penduduk sekitar daerah ini bagi memastikan makanan yang dimasak sedap dan menyelerakan.

“Lipis antara daerah di Pahang yang memang terkenal dengan pengeluaran asam tempoyak dan asam belimbing yang berkualiti menjadi perencah atau campuran dalam masakan bersama ikan liar,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Kamal memberitahu, pelanggan yang ingin menjamu selera masakan tempatan itu perlu terlebih dahulu menghubungi restoran tersebut bagi memudahkan dia memperoleh ikan daripada penjual dan nelayan sungai.
Menurutnya, harga ikan liar mentah yang ‘ori’ diperoleh daripada nelayan sungai antara RM180 hingga RM250 bagi berat antara satu hingga satu setengah kilogram yang sangat sesuai dimasak campuran asam tempoyak, manakala patin dan tilapia ternakan sangkar cuma antara RM22 hingga RM30 bagi berat yang sama.
Sementara itu, anak perempuan Mohd. Kamal selaku pengurus pemasaran, Ainun Fazila, 33, memberitahu, perniagaan mereka turut dibantu oleh ibunya, Zaitun Omar, 63, serta 12 orang pekerja bahagian pramusaji, tukang masak, minuman, tempahan dan pembersihan.
“Kebanyakan pelanggan menggemari dan memesan ikan patin dan tilapia stim tempoyak siap dimasak dengan harga antara RM46 hingga RM78. Selain itu sajian seperti gulai tempoyak, menu tiga rasa, tumis tempoyak , stim halia campuran kedua jenis ikan tersebut juga dalam anggaran harga antara RM46 hingga RM78. Bagi pelanggan yang tidak makan ikan sungai, kami juga menyediakan pilihan ikan siakap untuk masakan menu yang sama.
“Restoran ini juga menyediakan sajian tempoyak campuran ikan baung, tenggalan, kelah, kerai, kenerak dan sebagainya dikenakan harga antara RM150 hingga RM400 setiap hidangan,” katanya.
Katanya, Restoran Azmi Ikan Stim dibuka hari Isnin hingga Sabtu mulai pukul 11 pagi hingga 10 malam dan perniagaan ditutup pada hari Ahad. Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi menerusi talian 013-9115500. UTUSAN

