Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan wujud perselisihan atau masalah antara beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya menegaskan Barisan Nasional (BN) kekal komited memastikan kestabilan politik negara sehingga tamat penggal.
Beliau berkata, tiada sebarang masalah sama ada secara peribadi mahupun rasmi antara beliau dengan Anwar, termasuk ketika menghadiri mesyuarat Kabinet serta majlis dan acara rasmi kerajaan.
“Saya tidak ada sebarang masalah sama ada dari segi peribadi atau secara rasmi. Yang penting bagi Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah daripada komponen dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia ialah kestabilan politik di negara ini sehingga akhir penggal.
“Kami melakukan proses membuat keputusan dan juga mencapai keputusan secara profesional,” katanya, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Bloomberg sebelum ini yang mendakwa hubungan antara beliau dan Anwar semakin tegang sehingga menyebabkan mesyuarat Kabinet kebelakangan ini berlangsung lebih singkat berbanding biasa.
Laporan berkenaan turut mendakwa ketegangan itu berpunca daripada keputusan Ahmad Zahid bahawa BN menentang Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan komitmen BN untuk terus berada dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat tempoh adalah selaras dengan resolusi Perhimpunan Agung UMNO.

Beliau berkata kestabilan politik amat penting bagi memastikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia terus terpelihara, selain menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Kita tahu bahawa resolusi Perhimpunan Agung UMNO telah menetapkan bahawa kita berada dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia ini sehingga tamat tempoh.
“Inilah yang kami lakukan supaya terdapat kestabilan politik yang sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang permasalahan, terutamanya daripada pelabur-pelabur luar negara, FDI (Pelaburan Langsung Asing), dan juga untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya lagi.
Sumber: BERNAMA


