SKUAD Harimau Malaya B-19 menempah tiket ke pusingan akhir Piala Asia B-20 2027 di China selepas menewaskan Laos 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan H di Stadium Nasional Lao KM16, Vientiane pada Ahad.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan kumpulan dengan lima mata hasil satu kemenangan dan dua seri untuk muncul naib juara di belakang Indonesia yang mengungguli carta dengan tujuh mata.
Pencapaian tersebut sudah memadai untuk memastikan skuad kendalian Shukor Adan berada dalam kelompok tujuh pasukan naib juara terbaik yang turut layak ke pusingan akhir selepas semua aksi kelayakan di seluruh Asia dimuktamadkan.
Terdahulu, Malaysia membuka kempen dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Indonesia sebelum mengikat Australia 2-2 pada aksi kedua.
Turun dengan misi wajib menang, skuad negara bermula agresif apabila Haziq Aziz Ahyok membuka jaringan seawal minit ketujuh.
Gol itu memberi kelebihan psikologi kepada Harimau Muda yang kemudian tampil lebih tersusun dalam mengawal permainan sebelum membawa kelebihan 1-0 hingga tamat separuh masa pertama.
Laos cuba bangkit selepas rehat dengan meningkatkan tekanan bagi memburu gol penyamaan sebelum usaha mereka membuahkan hasil menerusi Odin Siphanit pada minit ke-61.
Skuad negara bagaimanapun tidak menunggu lama untuk kembali di depan apabila Fadhlul Hadi Zulkarnain meledak gol kemenangan pada minit ke-77 sekali gus mengesahkan kemenangan 2-1.
Berdasarkan kedudukan pasukan naib juara terbaik, Malaysia mengesahkan kemaraan bersama Iraq, Thailand, India, Australia, Jordan dan Syria.
Pusingan akhir Piala Asia B-20 2027 yang dijadualkan berlangsung di China pada Mac depan bakal membabitkan 16 pasukan iaitu tuan rumah China, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi, Iran, Uzbekistan, Qatar, Tajikistan, Malaysia, Iraq, Thailand, India, Australia, Jordan dan Syria. – Bernama