firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad dalam arena bola sepak tempatan bermula selaku pemain, jurulatih sebelum memimpin persatuan dalam tiga fasa berbeza seharusnya meletakkan Mohd Firdaus Mohamed sebagai calon pilihan untuk memenangi jawatan Naib Presiden 1 pada Kongres Pemilihan FAM, 17 September ini.
Bagaimanapun, sikap merendah diri dan menghormati setiap individu terus menjadi pegangan Mohd Firdaus apabila memilih untuk turun sebagai ‘underdog’, namun membawa satu taruhan utama iaitu pengalaman luas dalam pentadbiran bola sepak negara selain kecintaan terhadap sukan itu yang mendorongnya kembali menawarkan khidmat.
Firdaus berkata, keputusan untuk bertanding bukan didorong keinginan mengejar jawatan, sebaliknya kerana rasa tanggungjawab untuk membantu memperbaiki landskap bola sepak negara berdasarkan pengalaman yang dimilikinya.
“Biarlah saya turun sebagai ‘underdog’. Saya lebih suka kepada ‘underdog’. Saya terpanggil untuk bertanding ini lebih kepada untuk membantu. Saya pernah terlibat dalam FAM selama dua penggal, bermula daripada Exco sehingga menjadi Naib Presiden.
“Kalau diberi peluang, saya bersedia untuk kembali berkhidmat demi bola sepak negara,” katanya yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM).
Memulakan karier selaku pemain bola sepak pada awal 90an bersama beberapa pasukan antaranya PKNS, Detas Pahang, Kurnia Insurance dan lain-lain, sebelum bergelar jurulatih dengan melatih pasukan Kurnia Insurance dalam Liga Dunhill Kuala Lumpur.
Dalam kempimpinan, Firdaus bukan nama asing apabila pernah berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM dari 2018-2021 sebelum memegang jawatan Naib Presiden bagi penggal 2021-2025, namun memilih untuk tidak bertanding pada pemilihan lalu.
Pengalamannya merangkumi pelbagai aspek penting termasuk mengetuai Jawatankuasa Penswastaan Liga Malaysia (Liga M) pada 2018, yang menyaksikan proses pemisahan pasukan daripada Persatuan Bolasepak Negeri (FA) kepada kelab bola sepak (FC) berjaya dilaksanakan pada penghujung 2020.
Beliau kemudiannya diberi tanggungjawab menerajui Jawatankuasa Pertandingan FAM, termasuk usaha memperkasakan saingan di peringkat pembangunan bagi menyediakan laluan lebih baik untuk bakat muda negara.
Tidak terhenti di situ, Firdaus turut terbabit dalam usaha menghidupkan semula Pestabola Merdeka pada 2023 selepas kejohanan berprestij yang dianggap antara kejohanan bola sepak tertua di Asia itu kali terakhir dianjurkan pada 2013.
Dengan tiga calon bakal bersaing bagi satu jawatan Naib Presiden FAM, Firdaus mengakui laluan yang menantinya bukan mudah apabila penyandang, Datuk Seri Rosmadi Ismail dan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, Syed Yazid Syed Omar turut menawarkan diri.
Namun, beliau percaya pengalaman dan kesediaan untuk mendengar suara penyokong menjadi antara perkara yang boleh dibawanya jika diberi kepercayaan.
Menurutnya, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dalam FAM, terutama dalam usaha mengembalikan keyakinan penyokong terhadap badan induk bola sepak negara dan Harimau Malaya.
“Tidak terlambat lagi. Banyak penambahbaikan yang harus kita lakukan. Kita boleh buat dengan usaha daripada pelbagai pihak. Tetapi sesiapa saja yang dipilih perlu banyak melakukan ‘engagement’ dengan penyokong Harimau Malaya.
“Bola sepak ini milik rakyat. Kita perlu dengar suara mereka dan bersama-sama mencari jalan untuk membawa bola sepak negara ke arah yang lebih baik,” katanya.
Untuk rekod, pencapaian Firdaus dalam pengurusan bola sepak cukup hebat termasuk kejayaan beliau memastikan setiap tahun saingan tertua sejak 1922 iaitu Piala Emas Raja-Raja (PERR) dan Piala Agong berjaya dianjurkan meskipun berdepan kekangan kewangan yang mencabar.
Malah pada tahun ini, saingan PERR bakal memasuki edisi ke-104 sekali gus meneruskan legasi melahirkan pemain-pemain terbaik khususnya daripada anak muda Melayu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk berpeluang mewakili negara seperti mana beberapa tonggak yang lahir menerusi penganjuran PERR ini.
Antara legenda dan bintang yang pernah diasah bakat menerusi saingan PERR seperti bekas pemain negara dan Pulau Pinang, Allahyarham Shaharuddin Abdullah, bekas pemain Terengganu, Yahya Jusoh, bekas pemain Kedah, Muhammad Radhi Mat Din, bekas penyerang handalan Kelantan, Allahyarham Hashim Mustapha, pemenang PUSKAS FIFA 2016, Faiz Subri dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd
