Penyelidik UMS temukan kulat baharu serlah potensi khazanah biodiversiti hutan dipulihkan

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencatat penemuan penting dalam penyelidikan biodiversiti apabila sekumpulan penyelidiknya berjaya mengenal pasti dan mendeskripsikan spesies baharu kulat entomopatogenik, Akanthomyces infaproensis sp. nov., daripada kawasan Projek Pemulihan Hutan Hujan INFAPRO berhampiran Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, Lahad Datu.

Penemuan itu turut memperlihatkan potensi kawasan hutan yang dipulihkan sebagai habitat penting kepada spesies biodiversiti yang belum diketahui secara saintifik.

Spesies berkenaan ditemukan menjangkiti rama-rama dewasa yang melekat pada bahagian bawah daun di kawasan INFAPRO, dengan dua spesimen dikumpulkan pada 12 Mac 2024.

Kedua-dua spesimen menjalani penelitian morfologi serta analisis filogenetik molekul menggunakan lima penanda genetik, yang menunjukkan spesimen berkenaan membentuk garis keturunan tersendiri dan menyokong pengiktirafannya sebagai spesies baharu.

Nama infaproensis diberikan sempena Projek Rehabilitasi Hutan Hujan INFAPRO, iaitu lokasi spesies itu ditemukan.

Setakat ini, Akanthomyces infaproensis hanya diketahui terdapat di kawasan INFAPRO berhampiran Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum.

Kajian itu diterbitkan dalam jurnal taksonomi antarabangsa Phytotaxa pada 28 Ogos2026, melibatkan penyelidik UMS Muhammad Shahbaz, Chong Chuan Cheak dan
Profesor Madya Dr Jaya Seelan Sathiya Seelan, bersama Ibrahem Ghani Wasti daripada Kolej Universiti Yayasan Sabah serta Dr Yap Sau Wai dari Yayasan Sabah.

Jaya Seelan berkata penemuan berkenaan menunjukkan nilai biodiversiti kawasan hutan yang melalui proses pemulihan perlu diberi perhatian.

“Penemuan ini membuktikan bahawa hutan yang dipulihkan seperti INFAPRO bukansekadar kawasan yang sedang mendapatkan kembali fungsi ekologinya, tetapi juga merupakan gedung biodiversiti yang masih menyimpan begitu banyak rahsia sains untuk diterokai,” katanya.

Beliau berkata genus Akanthomyces turut mempunyai kepentingan dalam bidang kawalan biologi kerana spesies dalam kumpulan itu berpotensi digunakan sebagai agen kawalan terhadap serangga perosak tanaman seperti kutu daun dan lalat putih.

Menurutnya, penemuan dan pengenalpastian strain tempatan secara tepat penting bagi membuka ruang kepada penyelidikan lanjut berkaitan pembangunan agen biokawalan yang lebih bersesuaian dengan persekitaran tempatan.

Dalam pada itu, Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS Profesor Madya Dr Fiffy Hanisdah Saikim berkata penemuan itu memperlihatkan kepentingan penyelidikan biodiversiti dalam menghasilkan pengetahuan yang bukan sahaja bernilai kepada bidang sains, malah berpotensi menyumbang kepada pemuliharaan dan inovasi pada masa hadapan.

“Setiap spesies baharu yang kita temui adalah peringatan bahawa kita masih belum mengenali sepenuhnya kekayaan biodiversiti yang ada di Sabah, dan lebih penting penemuan ini berlaku di sebuah hutan yang dipulihkan.

“Ini memberikan mesej yang sangat kuat bahawa pelaburan dalam pemulihan ekosistem bukan sekadar memulihkan pokok dan landskap, tetapi mengembalikan ruang kehidupan, proses ekologi dan peluang untuk biodiversiti berkembang semula,” katanya.

Tambah beliau penemuan itu turut selari dengan gagasan strategik The Brain of Borneo yang meletakkan kecemerlangan penyelidikan biodiversiti sebagai antara kekuatan strategik UMS.

“Sabah adalah sebuah makmal semula jadi bertaraf dunia, justeru itu tanggungjawab kita bukan hanya untuk mengetahui apa yang ada di dalamnya, tetapi untuk meneroka, mendokumentasi, memahami dan memastikan khazanah ini dipelihara untuk generasi akan datang.

“Melalui IBTP, UMS mahu terus menjadi peneraju ilmu biodiversiti Borneo, menghasilkan penemuan dari Borneo yang memberi impak kepada dunia,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata penemuan tersebut signifikan kerana berlaku ketika IBTP meraikan ulang tahun ke- 30 penubuhannya tahun ini, sekali gus mencerminkan sumbangan tiga dekad institut itu dalam penyelidikan dan pemuliharaan biodiversiti Borneo.

“Selama 30 tahun, IBTP telah memainkan peranan penting dalam meneroka, mendokumentasi dan memulihara khazanah biodiversiti Borneo.

“Penemuan Akanthomyces infaproensis membuktikan bahawa perjalanan ini terus menghasilkan ilmu baharu yang bukan sahaja penting kepada Sabah dan Malaysia, tetapi turut menyumbang kepada sains dunia.

“Untuk itu, UMS akan terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju ilmu biodiversiti Borneo, membawa ilmu dari Borneo untuk dunia dan memastikan khazanah ini terus dipelihara untuk generasi akan datang,” ujar beliau.

Spesimen holotip Akanthomyces infaproensis, bernombor BORH(EF)00008, kini disimpan di Koleksi BORNEENSIS, IBTP UMS sebagai rujukan bagi penyelidikan taksonomi dan biodiversiti pada masa hadapan.

Kajian itu turut mencerminkan kerjasama penyelidikan antara UMS, Yayasan Sabah dan Kolej Universiti Yayasan Sabah dalam usaha meneroka serta mendokumentasikan biodiversiti Sabah. – UTUSAN

Scroll to Top