KOTA BHARU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan menyusun semula kekuatan parti dengan melantik tujuh Ketua Bahagian (Penaja) baharu, sekali gus memperkemas jentera organisasi di peringkat akar umbi.
Pelantikan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Badan Pimpinan Bersatu Negeri Kelantan di sini pada Isnin, bagi mengisi kekosongan kepimpinan di tujuh bahagian terbabit.
Mereka ialah Bahari Mohamad Nor bagi Tanah Merah; Mohd Fahmi Zakaria (Bachok); Ahmad Nazree Ramli (Jeli); Muhammad Afiq Hassan (Ketereh); Nik Hazan Nik Wook (Kubang Kerian); Rozainee Nawawi (Kota Bharu) dan Mohd Zaid Haron (Pasir Mas).
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, pelantikan itu penting bagi memperkukuh struktur serta gerak kerja parti di peringkat bahagian.
Menurut beliau, Ketua Bahagian (Penaja) terbabit akan dipertanggungjawabkan menyusun semula jawatankuasa masing-masing, termasuk mengisi jawatan yang masih kosong.
“Mereka akan menyusun semula jawatankuasa bahagian terbabit dengan mengisi jawatan-jawatan yang kosong serta mengambil langkah memperkemas pengurusan parti, rekod-rekod dan mengadakan program bagi mengukuhkan perpaduan dalam parti di peringkat bahagian masing-masing,” katanya ketika sidang akhbar pada Isnin.
Jelas Kamarudin, langkah berkenaan adalah sebahagian usaha berterusan Bersatu Kelantan memperkemas struktur organisasi dan memperkukuh kepimpinan parti di peringkat akar umbi.
Ujar beliau, barisan Ketua Bahagian (Penaja) baharu itu diharap dapat menggalas amanah diberikan selain memperkukuh hubungan parti dengan masyarakat di kawasan masing-masing.
Dalam perkembangan sama, Kamarudin memberitahu, semua bahagian Bersatu di Kelantan diminta meneruskan usaha memperkukuh pengurusan dan gerak kerja parti bagi memastikan organisasi sentiasa bersedia menghadapi perkembangan politik semasa.
Menurutnya, persidangan bahagian yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat akan ditetapkan semula susulan perubahan tarikh di peringkat pusat.
“Persidangan bahagian akan diadakan tidak lama lagi, tetapi tarikh baharu perlu ditetapkan selepas berlaku perubahan jadual di peringkat pusat.
“Ini kerana kita perlu memberi laluan kepada gerak kerja membantu calon-calon dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) Johor dan Negeri Sembilan, tidak lama lagi Melaka,” katanya.
