Tiga ditahan disyaki curi bahan produksi kilang

Ipoh: Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes kecurian bahan produksi sebuah kilang di kawasan Perindustrian Pulai Jaya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes kecurian bahan produksi bernilai tinggi yang digunakan dalam proses pengeluaran di kilang berkenaan.

“Hasil siasatan awal pihak syarikat mendapati kira-kira 64 gulung bahan produksi telah hilang dengan anggaran kerugian RM355,000.

“Susulan laporan tersebut, polis menahan tiga pekerja syarikat berusia lingkungan 28 hingga 35 tahun bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam PDRM Bersama Pengamal Media malam semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut mengesan seorang lagi individu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

Muhammad Najib berkata, pihaknya percaya kecurian melibatkan pekerja atau operator dalam syarikat berkenaan dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti tempoh kejadian serta jumlah kerugian sebenar.

“Saya percaya pekerja ini dia berperanan mengeluarkan stok yang berharga tersebut dan terlibat dalam bahagian pengeluaran komponen komputer.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti jumlah sebenar kehilangan, nilai kerugian serta peranan setiap individu yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana kesalahan bagi kerani, pekerja, atau orang gaji yang mencuri harta milik majikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top