KANGAR: Empat beranak mencipta kenangan tersendiri menjelajah seluruh semenanjung sejauh 2,380 kilometer (km) dalam tempoh 10 hari dengan menaiki vespa klasik.
Perjalanan empat beranak tersebut menaiki vespa jenis PX200 dan Rally 200 itu bermula dari 28 Ogos sehingga 6 September lalu.
Mohd. Hanafiah Shaari,41, bersama isteri, Siti Rohana Goh Abdullah,41, serta dua anak, Nurul Izzah Mohd Hasri,13, dan Hanania Mohd Hanafiah,4, mengakui meskipun berdepan cabaran namun mereka mencipta memori cukup indah sepanjang perjalanan berkenaan.
Siti Rohana berkata, jelajah itu bermula dari Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan kembali semula ke negeri ini.
Katanya, pengembaraan tersebut merupakan kali pertama dilakukan bersama anak-anak dan ia merupakan pengalaman cukup mengujakan.
“Antara cabaran sepanjang perjalanan sudah pastinya cuaca panas dan hujan serta keadaan motosikal yang tidak menentu.
“Kami juga memilih laluan lebih selamat sepanjang jelajah berkenaan terutama apabila membawa anak-anak. Alhamdulilah, sepanjang perjalanan, vespa klasik yang dinaiki itu tidak banyak meragam cuma terdapat sedikit masalah kecil yang berjaya diselesaikan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Katanya, tujuan utama jelajah berkenaan adalah untuk mencipta pengalaman serta kenangan bersama keluarga dengan cara tersendiri.
Dia dan suami juga ingin melihat anak-anak merasai sendiri pengalaman mengembara dengan vespa klasik yang bukan sekadar sampai ke sesuatu destinasi sebaliknya menikmati setiap detik perjalanan.
“Pada masa sama, kami ingin mengajar anak-anak mengenai soal kerjasama, kesabaran, toleransi dan semangat kekeluargaan. Bila perjalanan jauh seperti ini, semua kena main peranan dan saling menjaga.
“Bagi kami, 2,380 km itu bukan sekadar jarak yang berjaya ditempuh, tapi satu pengalaman keluarga yang sangat mahal nilainya,” katanya.-UTUSAN
