hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lelaki warga China kerugian RM2.9 juta selepas kediamannya di Jalan Ampang, di sini, diceroboh masuk sekumpulan penyamun bersenjatakan pisau, semalam.
Dalam kejadian antara 2 hingga 3 petang itu, mangsa berusia 28 tahun bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, pada 5.31 petang hari sama.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, suspek yang bertopeng dan bersarung tangan melarikan pelbagai barangan berharga serta wang tunai milik mangsa.
“Siasatan awal mendapati beberapa lelaki bertopeng, bersarung tangan dan bersenjatakan pisau menceroboh masuk ke dalam rumah.
“Suspek melarikan wang tunai, barangan kemas dan jam tangan mewah dianggarkan bernilai bernilai RM2.9 juta, selain merosakkan telefon bimbit serta melarikan pasport mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengesahkan tiada kecederaan serius dilaporkan membabitkan mangsa.
Annas berkata, usaha menjejaki kesemua suspek kini giat dijalankan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
