Belanja hingga RM150,000 untuk ubah suai kenderaan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sanggup berbelanja sehingga RM150,000 semata-mata untuk mengubah suai kenderaan secara ekstrem, termasuk sistem ekzos yang mampu mengeluarkan api dan mengeluarkan bunyi yang sangat kuat.

Bukan setakat itu sahaja, malah ada kenderaan yang diubah suai sehingga kedudukan badannya terlalu rendah dan hampir mencecah permukaan jalan.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, itu antara perkara yang dikesan menerusi Ops Ekstrem yang dijalankan di sekitar ibu negara, 6 September lalu.

Katanya, operasi bermula jam 1 hingga 5 pagi itu dilakukan susulan aduan dan maklumat orang awam berhubung aktiviti pengubahsuaian kenderaan secara melampau sehingga menimbulkan gangguan bunyi serta ketenteraman awam.

Menerusi operasi itu, sebanyak 156 kenderaan diperiksa dengan 97 daripadanya diambil tindakan dalam operasi berkenaan.

“Kalau kita tengok ada kenderaan yang menggunakan sistem suspensi udara (air suspension) dengan kos pengubahsuaian dianggarkan antara RM15,000 hingga RM25,000. Paling ekstrem, ada yang memang kereta itu dia cecah ke tanah, sampai tidak ada ruang lagi.

“Malah, ada yang ekzos yang keluarkan bunyi meletup dan api tadi, dia ubah suai sehingga cecah RM150,000.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Ops Ekstrem di Pejabat JPJ Kuala Lumpur, malam tadi.

Pihaknya juga telah mengeluarkan sebanyak 485 notis kesalahan dengan sebanyak 37 kenderaan disita dalam operasi berkenaan.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah nombor pendaftaran tidak mematuhi spesifikasi (97 kes), kesalahan ekzos (77 kes), LKM tamat tempoh (66 kes), tiada pelindungan insurans (57 kes), cermin gelap (44 kes) serta pengubahsuaian bentuk (11 kes).” katanya.

Dalam pada itu katanya, sebarang bentuk pengubahsuaian kenderaan perlu mendapat kelulusan daripada JPJ.

“Ada kenderaan, dia letakkan air suspension bersebelahan dengan tangki minyak. Yang itu sangat bahaya kerana kalau terjadi apa-apa memang meletup.

“Walaupun ada juga yang letak di belakang, ada yang letak di atas bonet tetapi sebenarnya, bila dia laksanakan pengubahsuaian itu, memang dia tidak mengikut spesifikasi, tidak mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Jadi ia boleh menyebabkan jadi perkara yang tidak diingini seperti kemalangan atau meletup.” katanya.

Beliau turut menegaskan, pemilik tidak akan dibenarkan mengambil semula kenderaan yang disita selagi pengubahsuaian tidak dikembalikan kepada keadaan asal dan tindakan undang-undang diselesaikan.

Dalam pada itu, beliau berkata, JPJ akan memperluas operasi itu ke seluruh negara bermula minggu ini bagi membanteras kenderaan yang diubahsuai secara melampau dan boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top