KUALA LUMPUR – Seramai 8.5 juta atau 87.6 peratus pekerja memilih untuk kekal menyertai Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) selepas diberi pilihan untuk ‘opt out’ daripada perlindungan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, angka berkenaan membuktikan kecaknaan majoriti pekerja terhadap kepentingan perlindungan yang diperluaskan di luar waktu bekerja.
Beliau memberitahu, hanya 12.4 peratus pekerja memilih keluar daripada skim berkenaan, sekali gus menunjukkan ramai pekerja mengambil maklum kepentingan perlindungan keselamatan sosial selepas waktu bekerja.
“Dalam setahun, seorang pekerja sektor formal di Malaysia hanya menghabiskan kira-kira 33 peratus untuk bekerja termasuk tempoh perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja
“Ini bermakna baki 67 peratus atau kira-kira 244 hari dalam setahun, mereka tidak dilindungi sekiranya kemalangan berlaku di luar waktu bekerja, sedangkan dalam tempoh itu seseorang masih kekal sebagai pekerja yang mempunyai tanggungjawab terhadap diri dan keluarga,” katanya pada sidang media di Menara PERKESO pada Rabu.
Mohammed Azman menjelaskan, LINDUNG 24 Jam yang diperkenalkan pada 1 Jun 2026 bertujuan memperluaskan perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan bukan berkaitan pekerjaan, termasuk di luar waktu bekerja.
Menurutnya, pelaksanaan LINDUNG 24 Jam telah menampakkan keberkesanannya apabila sebanyak 6,330 tuntutan diterima PERKESO dalam tempoh tiga bulan pertama pelaksanaannya dari 1 Jun hingga 31 Ogos 2026.
Beliau memberitahu, jumlah itu bersamaan purata kira-kira 69 kes sehari atau tiga kes dilaporkan setiap jam, dengan jumlah keseluruhan bayaran faedah yang disalurkan mencecah RM9.97 juta.
“Bayaran berkenaan merangkumi pelbagai faedah termasuk Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, bayaran ganti belanja perubatan, Faedah Pengurusan Mayat, Faedah Orang Tanggungan serta alat pemulihan dan implan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, perlindungan sosial perlu mengikuti pekerja dan bukan pekerja menyesuaikan diri dengan perlindungan.
Beliau menambah, jika perlindungan hanya terhad kepada lokasi dan waktu bekerja, perlindungan itu tidak akan benar-benar menyeluruh.
Beliau berkata, terdapat juga kes membabitkan individu yang memilih untuk ‘opt-out’ LINDUNG 24 Jam namun mengemukakan tuntutan faedah selepas ditimpa kemalangan di luar waktu bekerja.
“Perkembangan itu membuktikan risiko kemalangan di luar waktu bekerja bukan sekadar kemungkinan, malah telah menyebabkan ribuan pekerja memerlukan sokongan perlindungan sosial dalam tempoh singkat pelaksanaan LINDUNG 24 Jam,” katanya.