Penumpang diikat dengan pita pelekat selepas mengamuk dalam pesawat

TUCSON: Seorang penumpang American Airlines dipecat oleh firma hartanah selepas didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman dan homofobia dalam penerbangan pada 3 September lalu, sebelum dia diikat pada tempat duduk menggunakan pita pelekat dan pengikat kabel.

Arthur Layne Lundeen, 67, sebelum ini bernaung di bawah Long Realty di Tucson, Arizona, sebelum firma itu mengumumkan pada 6 September ia menamatkan hubungan dengan lelaki berkenaan susulan insiden tersebut.

Kejadian itu dilaporkan berakhir dengan Lundeen diikat pada tempat duduknya menggunakan pita pelekat dan pengikat kabel.

Long Realty dalam satu kenyataan berkata, kelakuan yang dilaporkan itu bertentangan dengan nilai profesionalisme, etika dan rasa hormat yang ditetapkan firma berkenaan terhadap individu yang mewakilinya.

“Lundeen tidak lagi mempunyai hubungan dengan Long Realty dan tidak diberi kuasa untuk mewakili firma itu,” menurut kenyataan berkenaan.

Firma tersebut turut menyatakan sokongan kepada penumpang serta kru yang terjejas akibat kejadian itu.

The Independent melaporkan Long Realty menyifatkan ejen-ejennya sebagai kontraktor bebas dan berkata pihaknya segera menamatkan hubungan dengan Lundeen selepas mengetahui mengenai insiden berkenaan.

Gangguan itu berlaku ketika penerbangan American Airlines 618 dari Dallas ke Newark.

Penumpang berkata Lundeen menjadi agresif, menjerit serta mengeluarkan kata-kata kesat berbaur perkauman dan homofobia, selain bertindak mengancam terhadap wanita yang duduk berhampiran.

Dua penumpang kemudian tampil membantu menahannya, termasuk bekas pegawai penguat kuasa Juan Mejia. ABC News melaporkan Mejia dan seorang lagi penumpang campur tangan selepas Lundeen didakwa bertindak secara fizikal.

Beberapa gambar yang dirakam dalam penerbangan itu menunjukkan Lundeen diikat pada tempat duduk menggunakan pita pelekat dan pengikat kabel pada bahagian pergelangan tangan, badan serta kepalanya.

Rakaman video dan gambar berkenaan kemudiannya tersebar luas di media sosial.

Juruterbang mengubah haluan pesawat ke Baltimore, sebelum polis menaiki pesawat dan menahan Lundeen. Penumpang lain kemudian meneruskan penerbangan ke Newark.

American Airlines mengesahkan Penerbangan 618 dilencongkan akibat seorang penumpang yang mencetuskan kekecohan.

Lundeen didakwa atas pertuduhan menyerang tahap kedua dan berkelakuan tidak senonoh.- AGENSI

Scroll to Top