Muzium Diraja dijangka dibuka semula 1 Februari 2027

Kuala Lumpur: Muzium Diraja yang ditutup sementara sejak Januari lepas dijangka dibuka semula kepada orang ramai pada 1 Februari tahun depan, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata kerja, pemeliharaan dan pemuliharaan muzium itu telah selesai, manakala kerja naik taraf hiasan dalaman dan peragaan sedang dilaksanakan, serta dijadualkan siap pada 28 Januari depan.

“Kementerian komited memastikan khazanah bersejarah ini terus dipelihara sebagai warisan negara dan wadah pendidikan kepada generasi akan datang,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Muzium Diraja merangkumi Galeri Diraja, bekas ruang rasmi dan peribadi Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong, selain Balairung Seri yang menjadi lokasi pelbagai istiadat penting negara termasuk pertabalan, pengurniaan darjah kebesaran dan majlis rasmi diraja.

Muzium berkenaan ditutup sejak 1 Januaribagi memberi laluan kepada kerja-kerja konservasi, pemeliharaan dan penyelenggaraan bangunan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top