Caicedo jadi taruhan Chengdu cabar jersi pendahulu LTdL 2026

PASUKAN Wheeltop Rotor Chengdu Cycling Team dari China mempertaruhkan pelumba berpengalaman Ecuador, Jonathan Klever Caicedo Cepeda, 33, untuk mencabar jersi pendahulu pada Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang bermula 27 September ini.Caicedo yang menyertai Chengdu pada Jun lalu memiliki pengalaman luas di pentas antarabangsa apabila pernah beraksi selama lima tahun bersama pasukan WorldTeam EF-Education, selain pernah memenangi Peringkat 3 Giro d’Italia 2020.Pelumba itu turut memiliki rekod cemerlang dengan memenangi Vuelta Bantrab dan Vuelta a Tachira pada 2024 serta empat gelaran kebangsaan Ecuador termasuk acara ujian masa individu (ITT).Prestasi terbarunya juga menjadi sandaran Chengdu apabila Caicedo muncul juara keseluruhan Tour of Qinghai Lake pada Julai lalu, selain dua kali menduduki tempat kedua pada Peringkat 3 dan 5.Caicedo yang sudah mengumpul 10 kemenangan sepanjang karier dan berpengalaman menyertai lapan Grand Tour serta empat perlumbaan Klasik dijangka menjadi tonggak utama Chengdu dalam misi memperbaiki pencapaian mereka di LTdL.Chengdu sebelum ini tampil dengan nama Chengdu DYC Cycling Team pada LTdL tahun lalu, namun hanya Li Chaoyi berjaya menamatkan saingan sehingga Peringkat 8, manakala empat lagi pelumbanya tersingkir lebih awal.Kegagalan itu mendorong pasukan kendalian pengurus Zheng Xing berkenaan melakukan persiapan lebih rapi musim ini dengan turut membawa Petr Rikunov, 29, Andrei Stepanov, 27, dan pelumba Mongolia, Bold Iderbold, 28.Rikunov, bekas pelumba RusVelo-Gasprom yang menyertai Chengdu sejak 2024, pernah memenangi jersi pendahulu Tour of Poyang Lake pada 2024 dan 2025, selain menduduki tempat ketiga keseluruhan China-Xizang Trans-Himalaya bulan lalu.Stephanov pula mencatat tempat kedua perlumbaan kebangsaan Pro Cycling League China-Han Feng Shu musim ini, manakala Iderbold yang menyertai Chengdu pada Mac lalu menduduki tempat ketiga Kejohanan Kebangsaan Mongolia dan ke-24 keseluruhan Tour of Qinghai Lake.Li Chaoyi, 23, dan bekas pelumba Li Ning, Shao Junqi, 27, pula akan menjadi sandaran pasukan untuk memburu kemenangan peringkat menerusi henjutan beramai-ramai.Ketua Pegawai Operasi Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, kehadiran Caicedo menambah tumpuan terhadap Chengdu yang mahu bangkit selepas kurang menyerlah pada penampilan pertama mereka tahun lalu.”Dengan pengalaman dan prestasi terkini Caicedo ini, Chengdu dilihat seolah-olah memberi amaran awal kepada pasukan berstatus WorldTeam dan ProTeam lain untuk mencabar jersi pendahulu,” katanya.Edisi ke-30 LTdL26 berstatus ProSeries itu akan bermula di Shah Alam pada 27 September dan berakhir di Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5 kilometer serta dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Scroll to Top