Tiga termasuk kanak-kanak maut terperangkap dalam kebakaran di Kluang

Kluang: Tiga individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Titiwangsa, di sini, malam tadi.

Mangsa yang maut dalam kejadian jam 10.30 malam itu membabitkan seorang lelaki dan wanita dewasa serta kanak-kanak lelaki.

Bagaimanapun, identiti ketiga-tiga mangsa belum dikenal pasti setakat ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Jusoh Mohd Salleh, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.44 malam.

Beliau berkata, seramai 14 anggota bersama jentera kemudian digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman dan menyelamat.

“Setibanya di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat berkeluasan 16 kaki x 70 kaki x 10 kaki.

“Rumah terbabit terbakar kira-kira 50 peratus, manakala tiga mangsa terperangkap di dalam rumah dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran pancutan dan masih giat dijalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top