hazwanfaisal@mediaprima.com.my
Kajang: Prestasi ekonomi negara yang masih kukuh, tahap penggajian yang tinggi dan kadar pengangguran rendah dijangka menjadi asas dalam menyokong pasaran hartanah negara bagi separuh kedua tahun ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kekal kukuh, sekali gus memberikan asas positif kepada sektor berkenaan.
“Saya ingat yang penting kita kena ingat dari segi KDNK negara, KDNK masih kuat lagi. Kita tengok daripada data yang kita ada, penggajian dalam negara pun tinggi lagi, kadar pengangguran dah rendah.
“Jadi, ini akan menjadi asas untuk menyokong pasaran hartanah pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan dan melancarkan Laporan Pasaran Harta Tanah Separuh Pertama 2026, di sini, hari ini.
Amir Hamzah berkata, kerajaan pada masa sama memberi tumpuan kepada usaha menangani isu kos sara hidup serta meneruskan reformasi berkaitan gaji sara hidup.
Katanya, usaha berkenaan penting bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, yang seterusnya boleh membantu menyokong sektor hartanah negara.
“Jadi kita mahu meletakkan lebih banyak wang dalam tangan rakyat. Kalau usaha-usaha ini berjaya, ia juga akan membantu menyokong sektor hartanah dalam negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Amir Hamzah berkata kerajaan terus mengambil langkah meringankan tekanan kos sara hidup, termasuk menerusi peningkatan kuota asas BUDI daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan.
Beliau berkata, bagi diesel pula, mereka yang layak dan sudah membuat permohonan boleh menerima kuota sehingga 400 liter sebulan.
Katanya, langkah membantu rakyat itu dilaksanakan meskipun kerajaan berdepan peningkatan ketara dalam beban subsidi susulan kenaikan harga minyak.
“Beban untuk kerajaan memang besar. Sebelum isu yang ada di Asia Barat, belanjawan mengatakan perbelanjaan subsidi untuk minyak tahun ini dalam lingkungan RM15 bilion.
“Sekarang anggaran kita ialah RM40 bilion sebab harga minyak telah naik. Tetapi kita akan terus berusaha mempertahankan komitmen untuk menolong meringankan beban rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

